JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor memulakan siasatan berhubung dakwaan warga asing menyewa kereta daripada rakyat tempatan untuk menjalankan perkhidmatan e-panggilan, serta ‘kereta sapu’ secara haram di beberapa daerah di negeri itu.

Siasatan itu susulan tularnya satu video di media sosial, yang memaparkan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh mengambil penumpang berhampiran terminal bas di sebuah daerah tidak dinyatakan lokasinya.

Rakaman itu turut menunjukkan seorang rakyat tempatan bersemuka dengan pemandu warga asing berkenaan, memandu kenderaan dipercayai tanpa lesen memandu sah, permit e-panggilan mahupun cukai jalan.

Pengarah JPJ Johor, Encik Zulkarnain Yasin, berkata pihaknya menerima aduan perkara itu dan sudah menghubungi pengadu bagi mendapatkan butiran lanjut.

“Kami belum dapat mengesahkan sama ada kenderaan dipaparkan dalam rakaman itu digunakan untuk perkhidmatan e-panggilan haram atau sama ada pemandunya beroperasi tanpa lesen yang diperlukan,” katanya kepada New Straits Times.

Menurutnya, JPJ sudah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik berdaftar kenderaan itu, serta mengarahkan individu berkenaan agar hadir ke pejabat jabatan bagi membantu siasatan.

“Jika pemilik kenderaan gagal hadir, saman akan dikeluarkan kerana gagal mematuhi notis itu.

“Kesalahan berkenaan membawa kompaun maksimum RM300 ($94) dan jika disabitkan kesalahan di mahkamah, denda sehingga RM2,000 boleh dikenakan,” katanya.

Encik Zulkarnain berkata tindakan lanjut akan diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan sekiranya hasil siasatan mendapati wujudnya kesalahan.

“Sebagai contoh, jika siasatan membabitkan kesalahan cukai jalan, kedua-dua pemandu dan pemilik kenderaan boleh dikenakan saman yang menghendaki mereka menyelesaikan kes itu di mahkamah.

“Jika disabitkan kesalahan, setiap seorang boleh dikenakan denda sehingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata kesalahan memandu tanpa lesen memandu akan menyebabkan pesalah didenda antara RM300 dengan RM2,000.

Rakaman video dimuat naik di TikTok itu mendakwa warga asing menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang haram di beberapa kawasan di Johor.

Kenderaan itu, yang lazimnya dikenali sebagai ‘kereta sapu’, dipercayai digunakan sebagai teksi persendirian tanpa lesen, dengan warga asing terbabit didakwa mengenakan bayaran antara RM5 dengan RM50 kepada penumpang, bergantung pada jarak perjalanan.

Setiap kenderaan dikatakan membawa sehingga lima penumpang, dengan tambang dikutip secara individu.

Perkhidmatan itu turut mencetuskan kebimbangan dari segi keselamatan dan tanggungan risiko, memandangkan penumpang mungkin tidak dilindungi insurans komersial yang sah sekiranya berlaku kemalangan.