Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3,910 kenderaan S’pura disaman, gagal aktifkan RFID

JPJ M’sia: Saman dikeluarkan sehingga 20 Okt sejak penguatkuasaan VEP pada 1 Jul
Oct 21, 2025 | 4:18 PM
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia merekodkan 3,910 saman terhadap kenderaan nombor pendaftaran Singapura yang tidak dilengkapi dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia merekodkan 3,910 saman terhadap kenderaan nombor pendaftaran Singapura yang tidak dilengkapi dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID). - Foto fail

KOTA BHARU (Kelantan): Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia merekodkan 3,910 saman terhadap kenderaan nombor pendaftaran Singapura yang tidak dilengkapi dan mengaktifkan teknologi Identifikasi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).

Saman itu dikeluarkan sehingga 20 Oktober bermula dari tarikh penguatkuasaan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada 1 Julai lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata semua saman itu diarahkan kepada pemandu supaya dibayar dengan serta-merta dan hasil kutipan yang diperoleh adalah mencecah RM1.17 juta ($358,238).

“Operasi membabitkan tiga lokasi iaitu luar kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Taman Daya di Johor.

“Ini satu kejayaan besar kerana sebelum ini kita tak dapat kutip kompaun saman secara serta-merta kerana mereka (pemandu) tangguhkan (bayaran saman) dan enggan bayar, jadi apabila balik ke Singapura, saman tetap tak selesai.

“JPJ guna pendekatan mana-mana pemandu yang dikenakan saman ini, kenderaannya akan disita dan ia sangat berkesan kerana semuanya akur,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Kursus Pemanduan Berhemah Pemandu di Kota Bharu pada 21 Oktober.

Datuk Muhammad Kifli berkata nilai saman yang ditetapkan adalah maksimum RM300 dan tiada diskaun malah perlu dibayar serta-merta.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 47 kenderaan mewah pelbagai jenis dan jenama bernilai lebih RM6.2 juta termasuk cukai sejak Januari hingga 16 Oktober.

Pengarah JKDM Kelantan, Encik Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata rampasan itu dibuat di Kelantan, Johor, dan Kuala Lumpur membabitkan kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta awam serta kawasan kondominium sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, kenderaan berkenaan dipercayai akan dijual tanpa melalui prosedur cukai dan dokumen yang sah.

Katanya, sindiket berkenaan dikatakan menjual kenderaan mewah menggunakan pelbagai kaedah termasuk mencari pelanggan mereka melalui media sosial.

“Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Honda Jazz, Toyota Vellfire dan Mercedes Benz yang bernilai di antara RM50,000 hingga RM185,000.

“Sindiket itu juga dipercayai menawarkan jualan kenderaan pada harga potongan antara 35 hingga 40 peratus lebih murah daripada harga pasaran bagi menarik minat pembeli tempatan,” katanya ketika sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, pada 21 Oktober, lapor Harian Metro.

Encik Wan Jamal Abdul Salam berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat permintaan yang tinggi di pasaran Malaysia yang mendorong individu tertentu sanggup membawa masuk kenderaan berkenaan bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna tempatan.

“Modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah dengan membawa masuk kenderaan mewah berkenaan ke Malaysia dipercayai bermula dengan memperoleh kenderaan yang sudah dilupuskan di pasaran negara jiran.

“Kemungkinan besar, kenderaan ini dibawa masuk melalui pintu masuk yang sah sebelum diletakkan di sekitar Johor Bharu sebelum di edarkan di pasaran Malaysia untuk tujuan jualan atau kegunaan tertentu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg