Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukanlah inisiatif eksklusif untuk kerajaan atau syarikat besar semata-mata, sebaliknya satu laluan pembangunan jangka panjang yang dirangka untuk melibatkan perusahaan tempatan, masyarakat Johor dan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata selepas setahun pelaksanaan, tumpuan awal JS-SEZ adalah untuk membina rangka kerja dasar, meningkatkan keyakinan pelabur dan menyediakan asas institusi yang kukuh sebelum manfaatnya diperluaskan secara lebih meluas kepada ekonomi setempat.
Menurutnya, kebimbangan masyarakat terhadap impak sebenar JS-SEZ adalah sesuatu yang difahami, justeru kerajaan negeri komited dalam memperkukuh komunikasi awam secara telus agar rakyat dapat melihat hala tuju, kemajuan serta kaitan langsung pembangunan itu dengan kehidupan mereka.
“Dalam tempoh setahun pelaksanaannya, Johor merekodkan kelulusan pelaburan sebanyak RM91.1 bilion ($28.7 bilion) sehingga suku ketiga 2025, sekali gus mencatat paras tertinggi dalam sejarah negeri,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Tambahnya, prestasi itu bukan sekadar didorong faktor luaran seperti penyusunan semula rantaian bekalan sejagat, tetapi turut disokong oleh kepastian dasar dan kecekapan pelaksanaan yang dibawa melalui JS-SEZ.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri tidak menyasarkan perubahan drastik dalam masa singkat, sebaliknya mahu memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih berstruktur, berdaya tahan dan mampu melahirkan pekerjaan bermutu tinggi.
“Dalam tempoh lima tahun pertama, JS-SEZ dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang perkilangan maju, ekonomi digital dan teknologi hijau.
“Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah pusat data dan teknologi digital, yang kini berkembang pesat di Johor,” ujarnya.
Kapasiti pusat data negeri itu meningkat daripada sekitar satu megawatt pada 2022 kepada hampir 2,000 megawatt pada 2025, dengan jumlah projek diluluskan mencecah 5,500 megawatt.
Namun, Encik Lee berkata fokus Johor bukan sekadar membina kemudahan fizikal, tetapi membangunkan keseluruhan ekosistem yang merangkumi tenaga, bangunan hijau, keselamatan siber, aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan bakat tempatan.
Beliau turut menegaskan JS-SEZ bukan perlumbaan jangka pendek, sebaliknya satu maraton pembangunan yang menuntut ketekalan dasar, keupayaan tadbir urus dan kesediaan melakukan pembaharuan institusi, termasuk pelaksanaan kotak pasir kawal selia bagi menyokong inovasi teknologi baru.
Empat teras utama JS-SEZ, jelasnya, meliputi pembangunan industri dan pekerjaan berkemahiran tinggi, kemudahan perdagangan, kelancaran pergerakan rentas sempadan serta pembangunan dan tarikan bakat.
“Kesemua teras ini dirangka untuk meningkatkan kerumitan ekonomi Johor agar negeri ini tidak lagi bergantung kepada kelebihan kos semata-mata, tetapi beralih kepada kelebihan keupayaan,” katanya.
Dalam menghadapi ketidaktentuan sejagat, Johor memilih pendekatan berkecuali dan terbuka dengan meletakkan kedudukannya sebagai platform stabil yang dapat menyokong keperluan pelbagai pihak, termasuk Amerika Syarikat dan China, tanpa terikat kepada mana-mana blok geopolitik.
Beliau berkata kejayaan JS-SEZ akhirnya tidak diukur melalui jumlah bangunan atau pelaburan semata-mata, tetapi sejauh mana ia mampu memperkukuh ekonomi tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat dan membina masa depan yang mampan untuk generasi akan datang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg