Topik diikuti
Pergi ke BHkuJS-SEZ: Maszlee gesa perluas program dwibahasa bagi rebut peluang kerja
Pelan jangka panjang perlu ambil kira kesediaan guru dan sekolah; kerjasama dengan sekolah swasta turut dicadang
JS-SEZ: Maszlee gesa perluas program dwibahasa bagi rebut peluang kerja
ISKANDAR PUTERI (Johor): Johor digesa menyediakan pelan jangka panjang untuk memperluas Program Dwibahasa (DLP) bagi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan menyediakan anak negeri itu bagi merebut peluang pekerjaan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, berkata usaha tersebut memerlukan penilaian kebolehlaksanaan dan persediaan menyeluruh, dengan mengambil kira kesediaan guru serta kemampuan sekolah.
“Saya akur bahawa kesediaan guru dan kemampuan sekolah perlu diambil kira. Justeru, apa yang kita perlukan ialah pelan jangka panjang dengan kerangka waktu yang pasti,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Negeri Johor, di sini, pada 24 November.
Dr Maszlee mencadangkan Johor meneliti pendekatan Sarawak dalam memperluas DLP, dengan usaha memperkukuh bahasa Inggeris dan dilaksanakan seiring dengan memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau bimbang kelemahan penguasaan bahasa dan kemahiran akan menyebabkan anak Johor ketinggalan dalam merebut pekerjaan yang diwujudkan menerusi JS-SEZ.
Menurutnya, Sekolah Rintis Bangsa Johor hanya melibatkan beberapa sekolah, sedangkan cadangannya menyentuh persediaan pendidikan yang lebih meluas di seluruh negeri.
Beliau turut meminta kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan sekolah swasta bagi meneroka kerjasama dan memanfaatkan pengalaman mereka.
Dalam ucapan perbahasannya, Dr Maszlee turut meminta kerajaan negeri menyatakan bilangan pekerjaan hasil pelaburan JS-SEZ yang telah diisi warga Johor, berserta julat gaji dan bilangan perantisan berbayar.
Menurutnya, manfaat pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi perlu turut sampai kepada penduduk Segamat, Muar, Batu Pahat serta daerah lain di utara dan tengah Johor.
Antara cadangan pendidikannya ialah sarapan sihat sepanjang penggal persekolahan, bermula dengan murid daripada keluarga berpendapatan rendah, serta penambahbaikan kelas bimbingan percuma.
Beliau turut mengusulkan kelas bahasa antarabangsa percuma dalam talian, dengan pelabur JS-SEZ dipelawa menyumbang kepada pembiayaan dan kemudahan pembelajaran.
Mengenai sekolah agama, Dr Maszlee meminta kerajaan negeri menambah guru dan menyediakan pelan jangka panjang bagi mengatasi kepadatan murid, termasuk di Kota Masai dan Taman Daya.
Mengulas belanjawan itu kepada wartawan, beliau berkata bantuan sekali beri sahaja tidak mencukupi, sebaliknya kesannya terhadap kehidupan rakyat perlu dinilai untuk jangka panjang.
“Belanjawan yang baik tidak diukur pada hari ia dibentangkan, tetapi pada hari-hari ia dirasai,” katanya.