Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat lebih 4,000 orang

Dec 4, 2023 | 4:07 PM
KELANTAN BAH: Sebuah sekolah di Kelantan turut ditenggelami banjir dan merosakkan sebahagian peralatan di sekolah.
KELANTAN BAH: Sebuah sekolah di Kelantan turut ditenggelami banjir dan merosakkan sebahagian peralatan di sekolah. - Foto FACEBOOK INFO BANJIR KELANTAN

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan semakin serius apabila jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 4,631 orang dari 1,508 keluarga, setakat 2 petang pada 4 Disember.

Maklumat daripada portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sejumlah 12 PPS dibuka untuk menempatkan mangsa dengan daerah terjejas ialah Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Dalam pada itu Berita Harian Malaysia melaporkan, seorang wanita sarat mengandung lapan bulan terpaksa mengambil risiko tidur di rumah walaupun perkarangan luar rumahnya sudah dilanda banjir hampir satu meter sejak beberapa hari lalu.

Cik Roslina Kohamad, 42 tahun, terpaksa mengambil tindakan itu memandangkan PPS yang didaftarkan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Pasir Mas, memberikannya khemah penginapan di tingkat tiga, berikutan kawasan bawah sudah penuh.

“Disebabkan itu hanya suami yang tidur di PPS berkenaan dan setakat ini saya masih bertahan di rumah memandangkan tidak larat untuk menaiki tangga, selain terpaksa berulang alik ke tandas.

“Bagaimanapun suami kerap menjenguk dan keadaan banjir terkawal. Jika keadaan bahaya saya akan berpindah ke PPS,” katanya dari Kampung Berek Pak Tua Long, Rantau Panjang, yang dijangka melahirkan bayi pada 15 Januari 2024.

Cik Zaidah Yusuff, 63 tahun, dari Kampung Kubang Kual, Pasir Mas, yang berpindah di PPS itu sejak 1 Disember 2023, berkata mereka sekeluarga sudah 30 tahun berdepan masalah banjir.

“Letih memikirkan keadaan yang berlaku, ada kalanya sehingga tiga kali setahun terpaksa berpindah. Banjir kali ini pun paras air mencecah sehingga 0.5 meter dalam rumah.

“Dalam rumah kami sudah kosong sejak setahun lalu selepas kesemua barangan dalam rumah musnah akibat banjir, kini kami hanya fikirkan nyawa sahaja,” katanya.

Cik Sabariah Abdullah, 60 tahun, turut memaklumkan barangan rumahnya juga kosong sejak setahun lalu akibat banjir.

“Saban tahun berdepan kerugian menyebabkan saya dan ibu, Cik Selamah Isa, 94 tahun, tidak membeli sebarang barangan rumah dan ruang tamu hanya kosong.

“Saya kini sudah reda dan ketika air naik beberapa hari lalu, saya bersama adik terus mendukung ibu yang tidak boleh berjalan dan membawanya ke PPS,” katanya.

“Letih memikirkan keadaan yang berlaku, ada kalanya sehingga tiga kali setahun terpaksa berpindah. Banjir kali ini pun paras air mencecah sehingga 0.5 meter dalam rumah.”
Cik Zaidah Yusuff, penduduk Kampung Kubang Kual, Pasir Mas.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg