Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Jurunikah’ durian di M’sia jana pendapatan lumayan

May 9, 2025 | 6:14 PM
Malaysia, durian, pendapatan, jurunikah, kebun
Pengerusi Persatuan Penanam Durian Negeri Sembilan, Datuk Zain Maarof, menunjukkan kaedah cantuman durian. Menurut beliau, kaedah tersebut bukan saja mampu mempercepatkan hasil seawal usia pokok lima tahun, malah dapat memberikan baka buah yang lebih bermutu. - Foto SINAR HARIAN

SEREMBAN: Jika tanaman durian mampu menjana pendapatan lumayan, begitu jugalah perkhidmatan sebagai ‘jurunikah’ raja buah berkenaan.

Permintaan tinggi daripada pekebun yang mahu ‘mengahwinkan’ pokok durian telah membuka peluang rezeki baru kepada mereka yang mahir dalam bidang terbabit.

Ini kerana, kaedah tersebut bukan saja mampu mempercepatkan hasil seawal usia pokok lima tahun, malah dapat memberikan baka buah yang lebih bermutu.

Pengerusi Persatuan Penanam Durian Negeri Sembilan, Datuk Zain Maarof, berkata bagi setiap pokok saiz sederhana yang mahu ‘dikahwinkan’, biasanya dikenakan caj antara RM30 ($9.07) hingga RM50, manakala untuk pokok dewasa boleh mencecah RM300.

“Perkhidmatan kita adalah buat cantuman pokok durian di kebun sehinggalah pokok itu mengeluarkan tunasnya antara hari ke-21 atau 25,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada 9 Mei

Menurutnya, sejak lima tahun bergelar sebagai jurunikah pokok, beliau telah mengahwinkan puluhan ribu pokok durian termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, biasanya dalam sehari, beliau mampu mengahwinkan 100 pokok saiz sederhana dan 20 pokok untuk saiz dewasa pula.

“Saya pernah dapat tugasan ‘kahwinkan’ durian di kebun seluas lapan hektar, iaitu ada kira-kira 700 pokok.

“Kalau banyak macam itu, biasanya saya akan ajak rakan-rakan lain untuk bantu. Bayangkan jika satu pokok kita caj RM30, boleh dapat RM21,000 untuk satu kerja,” katanya.

Jelas beliau, caj untuk kahwinkan pokok saiz dewasa atau tua lebih mahal kerana ia lebih mencabar disebabkan kulitnya yang keras selain ada ketikanya perlu memanjat.

Bagaimanapun katanya, sebaik saja tunas telah pun keluar, menjadi tanggungjawab pekebun untuk memastikan pokok dijaga dengan baik.

Selain itu, pokok durian yang dikahwinkan boleh berbuah dalam tempoh seawal lima tahun berbanding pokok yang membesar sendiri mengeluarkan hasil pada tahun kelapan, katanya lagi.

“Pokok penanti atau pokok asal biasanya disemai daripada biji durian biasa. Apabila ‘dikahwin’ dengan durian premium daripada pokok yang sudah besar, ia memberi kelebihan dari segi genetik.

“Genetik pokok yang sudah dewasa bergabung dengan pokok yang masih kecil akan mempercepatkan tumbesaran dan masa untuk berbuah,” katanya.

Tambah Datuk Zain, ada juga teknik mencantumkan pokok besar atau dewasa dengan mata tunas durian premium seperti musang king, duri hitam, tupai king dan IOI.

Dalam pada itu, katanya, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika proses cantuman ialah pisau yang digunakan perlulah tajam dan bersih.

Biasanya, beliau akan menggunakan pisau cukur kerana matanya yang nipis dan tajam mampu menghasilkan hirisan yang kemas.

“Nampak kerja dilakukan macam mudah, tapi kalau tidak menggunakan cara yang betul, proses cantuman itu tak menjadi.

“Sebab itu pentingnya untuk kita ikuti beberapa kursus pertanian sebelum menyediakan perkhidmatan sebagai ‘jurunikah’ durian ini,” katanya.

Ditanya mengenai cara mendapatkan ilmu berkenaan, Datuk Zain berkata beliau mengikuti kursus dengan Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan kursus anjuran pihak swasta.

“Selepas kira-kira enam tahun melakukan kerja cantuman ini, saya kerap dipanggil untuk memberikan ceramah dan mengajar pelajar baru anjuran agensi kerajaan dan swasta.

“Saya lihat tugas ‘kahwinkan’ durian ini boleh jadi satu kerjaya sekiranya dibuat bersungguh-sungguh atau boleh jadi pendapatan sampingan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengambil menjual anak pokok durian ‘kahwin’ antara RM20 ke RM30 dan biasanya kira-kira 100 anak pokok yang terjual.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg