Topik diikuti
Pergi ke BHkuKadar kesuburan warga M’sia turun pantas, tangguh kahwin antara punca
Timbul kebimbangan negara bakal hadapi bekalan tenaga tidak cukup dalam sektor ekon dan pengguna
KOTA BHARU: Kadar kesuburan rakyat Malaysia mengalami penurunan dengan pantas dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, sekali gus menjadi cabaran untuk membentuk negara maju.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Abdul Shukur Abdullah, berkata keadaan itu menimbulkan kebimbangan jika berdepan dengan ketidakcukupan bekalan tenaga dalam sektor ekonomi dan guna tenaga, khususnya kepenggunaan.
“Malaysia dalam fasa peralihan demografi penduduk seperti mana negara maju dan kalau kita tengok, semakin maju negara itu, kadar kesuburan semakin menurun. Malaysia antara yang terpantas daripada segi penurunan kadar kesuburan negara.
“Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Malaysia secara nasional adalah pada paras 1.6 anak bagi setiap wanita dan kita melihat ini satu cabaran untuk membentuk negara maju.
“Pada masa yang sama, kita mahu melihat mutu untuk lahirkan generasi penduduk pada masa akan datang.
“Antara cabarannya adalah memperlahankan penurunan kesuburan kerana apabila ia berlaku lebih pantas maka penduduk kita akan lebih menurun.
“Kita khuatir tak cukup muda untuk bekalan dalam sektor ekonomi dan guna tenaga khususnya kepenggunaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 peringkat Negeri Kelantan, di Institut Pengurusan Peladang, Panji, di Kota Bharu, Kelantan, pada 17 Ogos.
Datuk Abdul Shukur berkata antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya penurunan kadar kesuburan yang pantas adalah kerana kecenderungan menangguhkan perkahwinan, selain kebimbangan berdepan masalah dalam rumah tangga.
Menurut beliau, apabila seseorang menangguhkan perkahwinan, ia akan menjejas tahap kesuburan berikutan tempoh reproduktif wanita adalah antara usia 15 dengan 49 tahun.
Selain itu katanya melanjutkan pengajian, masalah kewangan serta kos sara hidup tinggi turut menyumbang kepada penangguhan perkahwinan.
“Jika zaman generasi 20 tahun dulu, usia 24 tahun sudah berkahwin, namun sekarang berdasarkan perangkaan, umur pertama perkahwinan adalah 27 tahun untuk wanita, manakala 30 bagi lelaki.
“Kalau ikut kajian yang kita jalankan, status kekal membujang sekarang adalah lelaki dan sebab itu kita jalankan sambutan Hari Penduduk Sedunia pada 2026, untuk meningkatkan kesedaran supaya nilai membentuk sebuah keluarga itu menjadi sesuatu yang positif untuk orang bujang.
“Ramai takut untuk berkahwin sekarang, apabila tengok kadar perceraian makin meningkat, media banyak bercerita isu penderaan rumah tangga dan lelaki khususnya enggan pikul tanggungjawab seterusnya memilih untuk membujang,” katanya.
