PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 11.5 peratus kepada 93,500 pada suku pertama 2025, berbanding 105,613 kelahiran pada suku tahun pertama 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 itu merupakan rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi dengan 18,254 (19.5 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan yang terendah dengan 278 kelahiran (0.3 peratus),” katanya, lapor Astro Awani.
Menurut DOSM, majoriti kelahiran direkodkan daripada ibu berusia 30 hingga 39 tahun dengan 49,816 kelahiran (53.3 peratus), diikuti kumpulan umur 20 hingga 29 tahun (39.3 peratus).
“Hanya 1.4 peratus kelahiran melibatkan ibu berumur kurang 20 tahun, manakala terdapat tiga kelahiran dicatatkan ibu yang berusia 55 tahun dan ke atas.
“Selain itu, daripada segi etnik, Melayu menyumbang 68.8 peratus (64,326 kelahiran), diikuti Bumiputera Lain (12.6 peratus), Cina (8.6 peratus) dan India (3.8 peratus),” ujarnya.
Penurunan ketara kadar kelahiran dicatatkan dalam kalangan etnik Cina dan India, masing-masing berkurang sebanyak 1 peratus dan 0.4 peratus berbanding suku pertama 2024.
Bagi tempoh sama, sebanyak 48,130 kematian direkodkan, susut 2 peratus berbanding 49,117 pada suku pertama 2024.
Datuk Mohd Uzir turut mengesahkan bahawa jumlah penduduk Malaysia kini dianggarkan seramai 34.2 juta, meningkat 0.9 peratus berbanding 33.9 juta pada suku pertama 2024.
“Walaupun terdapat peningkatan, kadar pertumbuhan itu lebih perlahan berbanding 2 peratus pada 2023.
Penduduk terdiri daripada 30.8 juta warganegara (90.1 peratus) dan 3.4 juta bukan warganegara (9.9 peratus).
“Penduduk muda berusia 0 hingga 14 tahun pula menurun daripada 22.3 peratus kepada 22.2 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai trend dunia, Datuk Mohd Uzir menyatakan penurunan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) kini menjadi isu yang menekan struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial.
“Banyak negara kini mencatatkan TFR di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita berusia 15 hingga 49 tahun. Ini memberi kesan kepada penduduk menua, penurunan penduduk dan tenaga kerja,” jelasnya.
Beliau berkata beberapa negara seperti Singapura, Korea Selatan, Jepun, Thailand, China dan Russia sedang bergelut dengan cabaran itu dan telah memperkenalkan pelbagai dasar sokongan keluarga, insentif kewangan dan lanjutan cuti bersalin sebagai langkah menangani isu penduduk menua.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg