Laporan terbaru penyakit kencing manis yang dikeluarkan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menunjukkan kadar peratusan penduduk dunia menghidap diabetes semakin meningkat.
Dijangkakan pada 2045, satu dalam lapan orang dewasa (usia 20 hingga 79 tahun) atau 783 juta penduduk dunia akan menghidap penyakit berbahaya ini dengan pertambahan 46 peratus.
Ia dikenal pasti sebagai antara penyakit tidak berjangkit mencapai tahap cemas. Lebih 537 juta penduduk dunia berusia antara 20-79 tahun kini hidup dengan penyakit diabetes atau 10.5 peratus daripada jumlah warga global.
Penyakit diabetes jenis 2 ini menunjukkan trend peningkatan hampir di semua negara maju dan negara sedang membangun.
Laporan IDF menyatakan faktor kombinasinya adalah populasi menua, gaya hidup kurang aktif dan pertambahan jumlah individu lebih berat badan serta kegemukan.
Beberapa faktor utama menyumbang ialah gaya hidup tidak aktif, diet kurang sihat, pencemaran udara dan tabiat merokok.
Gaya hidup masyarakat bandar tidak memperuntukkan masa bersenam ditambah tekanan hidup mendorong kepada pemakanan kurang sihat, apatah lagi ia dipercepatkan dengan pengambilan makanan proses dan minuman manis berlebihan.
Di Malaysia, kebanyakan masyarakat bandar akan keluar makan atau melepak di restoran hingga lewat malam, terutama golongan muda.
Ada juga suka melewat-lewatkan makan malam dan menjadi kebiasaan sesetengah keluarga keluar makan hingga lewat malam terutama hujung minggu.
Sebelum ini, terdapat gesaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) supaya kerajaan menutup restoran 24 jam bagi mengelakkan tabiat pemakanan kurang sihat.
Gesaan ini ditentang Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia yang berpandangan restoran terbabit bukan penyebab utama masalah kesihatan, sebaliknya bergantung kepada individu.
Bagaimanapun, kita perlu melihat dari aspek kesihatan, sosial dan faktor ekonomi.
Restoran beroperasi 24 jam memberi ruang kepada masyarakat mengamalkan gaya pemakanan kurang sihat iaitu makan lewat malam, selain menyebabkan masalah kurang jumlah jam tidur, iaitu sekurang-kurang enam hingga lapan jam sehari.
Faktor ekonomi sebaliknya menekankan kepentingan perniagaan restoran 24 jam untuk menjana pendapatan kepada pengusaha dan menyediakan peluang pekerjaan, termasuk memudahkan pekerja syif malam mendapatkan makanan.
Justeru, ia perlu dilihat secara objektif dan disokong dengan fakta untuk membuktikan operasi restoran 24 jam betul-betul memberi impak masalah kesihatan kepada masyarakat.
Umumnya, tabiat pemakanan lewat malam akan menyumbang kepada masalah berat badan berlebihan. Jika fenomena makan lewat malam diajukan kepada pengamal kesihatan, jawapannya ia menyumbang kepada masalah kesihatan dalam jangka panjang.
Pakar kesihatan berpandangan makan lewat malam sekali sekala tidak mengapa, tetapi jika menjadi sebahagian gaya hidup, ia menyumbang kepada pertambahan berat badan.
Kajian dibuat kumpulan penyelidik Universiti Harvard menunjukkan makan lewat malam secara berterusan selama lima hari berturut-turut memberi kesan kepada hormon menguruskan rasa lapar, mengurangkan pembakaran kalori dan menggalakkan pembentukan sel lemak.
Ini menjadikan tabiat makan lewat memberi kesan kepada pertambahan berat badan dan menyumbang kepada risiko obesiti.
Antara tiga aspek ditekankan melalui hasil penyelidikan ini ialah peraturan pengambilan kalori, jumlah kalori dibakar dan kesan kepada perubahan sel lemak dalam badan.
Kajian saintis kesihatan di Universiti Northwestern, Amerika Syarikat juga menunjukkan makan lewat malam bukan hanya memberi kesan kepada pertambahan berat badan, malah dikaitkan dengan diabetes.
Ia ada hubung kait antara masa pemakanan, waktu dan jumlah jam tidur dengan masalah kegemukan. Amalan makan lewat malam juga mengganggu sistem fitrah badan.
Gangguan terhadap sistem fitrah badan memerlukan manusia rehat pada waktu malam akan memberi kesan negatif kepada kesihatan.
Penulis adalah Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Rencana ini kali pertama disiarkan di Berita Harian Malaysia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg