Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sarimah hampir koma dek kencing manis

Mar 17, 2025 | 2:22 PM
Selain kencing manis, Datuk Sarimah Ahmad turut mempunyai masalah jantung, namun doktor tidak melakukan sebarang prosedur rawatan disebabkan usia lanjut. 
Selain kencing manis, Datuk Sarimah Ahmad turut mempunyai masalah jantung, namun doktor tidak melakukan sebarang prosedur rawatan disebabkan usia lanjut.  - Foto fail

Bintang legenda, Datuk Sarimah Ahmad, dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, pada Februari lalu berikutan masalah kencing manis.

Berkongsi perkara itu, anaknya, Yusarima Yusof, 54 tahun, memaklumkan keadaan ibunya ketika sangat kritikal dan jika lambat dirawat boleh menyebabkan komplikasi kronik termasuk koma dan angin ahmar, lapor Berita Harian Malaysia.

“Ibu ada kencing manis, biasalah orang tua susah nak makan ubat. Suatu hari, dia muntah teruk dan keadaan dirinya sangat lemah.

“Anak saudara yang juga seorang doktor minta kami bawa ke hospital. Dialah yang uruskan semua. Dari situ, baru kami tahu keadaan Ibu memang kritikal, kalau terlambat sikit memang sudah tak ada.

“Pada waktu itu, tekanan darahnya sangat rendah dan tahap gulanya sudah masuk dalam darah. Doktor kata darah sudah nak jadi masam, kalau keadaan begitu dibiarkan boleh mengakibatkan ibu koma atau strok,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Cik Teo Nie Ching, di kediamannya, di sini, semalam.

Menerusi program Ziarah Seni Madani Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Yusarima menambah, kegemaran menikmati juadah manis seperti kuih tradisional Melayu mungkin menjadi antara punca ibunya menghidap penyakit kencing manis.

Sehubungan itu, mereka sekeluarga kini lebih berhati-hati dalam menjaga pola pemakanan ibunya.

“Ibu suka makan kuih Melayu dan buah-buahan, tapi tak mahu ambil ubat.

Nak buat macam mana, tapi Alhamdulillah disebabkan kejadian ini (masuk hospital), kami jadi lebih peka dan menjaga makan minumnya dengan rapi.

“Hari itu, ibu lagi kurus sebab tak boleh makan sampai dia menangis. Alhamdulillah lepas doktor tukar ubat dan bagi insulin, baru ibu mula boleh makan semula,” kongsinya.

Dalam pada itu, anak kelima daripada enam beradik itu turut memberitahu ibunya juga mempunyai masalah jantung.

Pun begitu, katanya, disebabkan usia ibunya sudah lanjut, doktor tidak melakukan sebarang prosedur rawatan, sebaliknya hanya memberikan ubat-ubatan.

“Sewaktu pemeriksaan, doktor merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada jantung ibu. Sekarang, setiap bulan ibu perlu membuat pemeriksaan susulan di hospital.

“Kalau ikutkan doktor mahu melakukan prosedur angiogram, tetapi disebabkan faktor usia, kami cuba cari ikhtiar dengan memberikan ibu makan ubat dahulu.

“Sekarang, memang saya tidak beri ibu buat macam-macam kerana cepat letih. Banyak perkara juga yang ibu sudah tidak ingat,” katanya. 

Pada 2022, Sarimah menderita barah usus tahap tiga, namun selepas dua tahun beliau bebas penyakit dan pulih.

Sebelum itu, Sarimah dilaporkan pernah menghidap barah hidung, namun pulih sepenuhnya pada 2011.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg