Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sewa gerai bazar di KL lebih rendah, harga jualan tak banyak ubah

Peniaga rata-rata dakwa tanggung kos bahan mentah yang tinggi
Mar 5, 2025 | 4:24 PM
Bazar Ramadan Kampung Baru antara bazar paling popular dan terpanjang di Kuala Lumpur tidak lengang daripada pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa.
Bazar Ramadan Kampung Baru antara bazar paling popular dan terpanjang di Kuala Lumpur tidak lengang daripada pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Di sebalik pelbagai kisah mengenai bazar Ramadan di Malaysia terutama berkait soal harga makanan dan minuman yang dijual peniaga, tempat itu tetap menjadi tumpuan pengunjung.

Di Kuala Lumpur, dengan pembaharuan julung kali dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menurunkan harga sewa tapak kepada RM500 ($151) bermula 2025, orang ramai mengharapkan harga makanan akan lebih rendah berbanding Ramadan 2024.

Namun, keadaan itu tidak berlaku di tempat tinjauan Berita Harian (BH) yang mendapati harga makanan dan minuman rata-rata tidak berubah berbanding Ramadan 2024.

Pada tahun-tahun sebelum ini, peniaga terpaksa menanggung kos sewa tapak bazar Ramadan mencecah ribuan ringgit berikutan pengurusannya dikendalikan pihak ketiga.

Namun pada 2025, DBKL mengambil alih sekali gus membolehkan harga tapak lebih rendah.

Menurut peniaga yang ditemui BH, mereka masih menanggung kos bahan mentah yang tinggi justeru perlu mengekalkan harga makanan dan minuman yang dijual, biarpun kos sewa tapak bazar di kawasan seliaan DBKL turun.

Rata-rata kalangan pengguna pula menyatakan mereka terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi untuk membeli makanan dan minuman di bazar Ramadan terutama sajian yang tular.

Berdasarkan tinjauan BH, perbezaan harga makanan dan minuman antara gerai juga bergantung kepada jumlah produk jualan, selain mutu dan jenis bahan yang digunakan.

Contohnya, ada roti john dijual pada harga RM7, manakala ada peniaga menjual pada harga RM13 – perbezaannya adalah mutu dan tahap premium bahan yang digunakan dalam sajian itu.

Peniaga nasi ayam penyet di bazar Ramadan Wangsa Maju, Encik Mohd Hafiz Tukiran, 31 tahun, mengakui lega kerana tidak lagi berdepan ‘penindasan’ orang tengah yang meletakkan kadar sewa tapak bazar pada harga tinggi.

“Sebelum ini saya terpaksa bayar sewa tapak bazar RM1,000... alhamdulillah selepas DBKL ambil alih penyeliaan bazar Ramadan, kadar sewa turun kepada RM500.

“Ini membolehkan saya mengekalkan harga makanan dijual. Sukar hendak turunkan harga kerana kos bahan mentah lebih tinggi berbanding 2024,” katanya ketika ditemui BH.

Peniaga air soya dan tau fu faa, Encik Muhammad Khairuddin Mohamad Nasid, 40 tahun, gembira kerana langkah DBKL itu menamatkan penguasaan orang tengah yang lazimnya meletakkan kadar sewa gerai tidak masuk akal.

“Tahun ini (2025) puas hati kerana selain sewa gerai lebih rendah, kami juga dapat pelbagai kemudahan seperti khemah yang cantik, apron dan mesin kod respons pantas (QR) tajaan Bank Muamalat.

“Harga soya yang dijual juga kekal seperti 2024 dan saya tidak ambil untung banyak pun, ujarnya.

“Namun peniaga seperti saya perlu peka dengan keadaan cuaca. Jika hujan, kami perlu kurangkan jumlah jualan untuk elak pembaziran, jadi pendapatan pun akan kurang.”

Peniaga air balang di bazar Ramadan Kampung Baru, Encik Masnor Sallehuddin, 41 tahun, berkata tiada lagi tragedi pergaduhan akibat berebut tapak bazar seperti yang dialami tahun-tahun sebelum ini selepas urusan sewa tapak diambil alih DBKL.

“Pengurusan tapak juga lebih tersusun dan terkawal. Kalau soal harga, masih sama seperti 2024, walaupun orang kata apabila sewa tapak murah, kami boleh turun harga jualan. Hakikatnya, kos bahan semakin naik,” katanya.

Pembikin roti john di bazar Kampung Baru, Encik Syafaat Sasril, 31 tahun, berkata harga makanan sangat subjektif bergantung pada mutu dan jumlah bahan.

“Memang ada yang kata roti john RM13 yang saya jual mahal, tetapi pembeli tetap ramai, kerana mereka menilai mutu premium makanan dan rasa berbaloi membeli,” jelasnya.

Pegawai bank, Cik Kartika Mohd Nor, 44 tahun, mengakui ada makanan yang dianggap agak mahal, tetapi pilihan yang murah juga ada.

“Jadi sebagai pengguna kita kena bijak memilih. Saya faham keadaan peniaga yang meletakkan pelbagai harga kerana kos setiap peniaga berbeza,” katanya.

Penggemar roti john, Encik Mohd Hadi Mohd Reduan, 41 tahun, memilih membeli roti john berharga RM13 berbanding pilihan lebih rendah kerana inginkan kepuasan menikmati makanan.

“Memang roti john ini mahal sedikit, tapi rasanya tak sama dengan yang berharga lebih murah. Saya tak kisah belanja lebih sikit jika tekak teringin dan puas makan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg