Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga Altantuya fail notis muflis terhadap Razak Baginda

Aug 30, 2024 | 1:12 PM
Encik Abdul Razak Baginda (kiri) dan mendiang Altantuya Shaariibuu.
Encik Abdul Razak Baginda (kiri) dan mendiang Altantuya Shaariibuu. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, memfailkan notis muflis terhadap Encik Abdul Razak Baginda, selepas penganalisis politik Malaysia itu gagal membayar ganti rugi termasuk faedah lebih RM9.24 juta ($2.78 juta) kepada keluarga berkenaan seperti diputuskan Mahkamah Tinggi pada 2022.

Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Cik Altantsetseg Sanjaa serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal, selaku pemiutang penghakiman, memfailkan notis itu menerusi Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Julai terhadap Encik Abdul Razak sebagai penghutang penghakiman.

Berdasarkan dokumen diperoleh media pada 29 Ogos, mereka menuntut RM9,248,282.06 termasuk faedah dan kos sebagai wang yang perlu dibayar atas penghakiman muktamad oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2022 terhadap Encik Abdul Razak dan tiga individu lain, yang pelaksanaan perintah tersebut tidak digantung oleh mahkamah.

Pada 16 Disember 2022, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membenarkan saman difailkan keluarga model itu dan memerintahkan bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Encik Abdul Razak dan kerajaan Malaysia, untuk bersama-sama membayar RM5 juta sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada keluarga berkenaan.

Sementara itu, Encik Abdul Razak memfailkan permohonan pada 15 Ogos untuk mengetepikan notis kemuflisan berkenaan, antaranya atas alasan beliau telah failkan rayuan bagi mencabar jumlah ganti rugi diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam saman terbabit.

“Notis kebankrapan ini mengelirukan, tidak efektif, cacat dan salah di sisi undang-undang.

“Sebelum mengeluarkan notis kebankrapan itu, pemiutang penghakiman tidak membuat apa-apa tuntutan terhadap saya untuk jumlah penghakiman bertarikh 16 Disember 2022,” dakwanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 4 Jun 2007, keluarga model itu memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah Hadri, Sirul Azhar, Encik Abdul Razak dan kerajaan Malaysia.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya berkata kematian model itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, dan menuntut pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

Azilah dan Sirul Azhar disabit membunuh Altantuya pada November 2006, dan dijatuhi hukuman mati, manakala Abdul Razak dituduh bersubahat namun kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar kini ditahan di pusat tahanan imigresen Australia, manakala Azilah di Penjara Kajang, menunggu hukuman mati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg