Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian Luar M’sia pindah keluar 15 rakyat dari Lebanon

Oct 2, 2024 | 2:02 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto fail

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Malaysia melalui Kedutaan Besar di Beirut sedang melaksanakan proses pemindahan keluar 15 rakyatnya bersama tiga warga asing yang juga pasangan kepada rakyat Malaysia berikutan keadaan keselamatan yang semakin meruncing di Lebanon.

Kementerian dalam satu kenyataan pada 1 Oktober berkata sembilan rakyat Malaysia sudah meninggalkan negara itu secara sukarela manakala empat lagi memilih untuk terus kekal di Lebanon.

“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lebanon,” lapor Berita Harian Malaysia menukil kenyataan itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa semua pihak di Asia Barat agar segera meredakan ketegangan yang semakin meningkat bagi menstabilkan wilayah berkenaan.

Beliau berkata tindakan agresif dan serangan berterusan oleh Israel di Lebanon, Syria dan Yaman adalah usaha yang disengajakan untuk mengalihkan perhatian masyarakat sejagat daripada kekejaman dan tindakan genosid yang ganas terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Peningkatan ketegangan berkenaan jelas bertujuan untuk memastikan pemimpin politik Israel yang sedia ada kekal berkuasa dan terlepas daripada hukuman, mengorbankan nyawa yang tidak bersalah demi kepentingan kerjaya politik seorang individu.

“Kita mesti segera mencegah kitaran tindakan dan reaksi yang berbahaya yang boleh menarik lebih banyak pihak ke dalam konflik berkenaan, seterusnya mendalamkan ketidakstabilan dan meluaskan skala kemusnahan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada 2 Oktober.

Datuk Anwar turut menggesa semua pihak yang terbabit agar mengambil tindakan segera bagi mengurangkan permusuhan dan mewujudkan keadaan yang diperlukan bagi mengelakkan konflik serantau yang lebih besar daripada meletus.

Terdahulu, Iran melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin yang disokong Teheran dan berikrar untuk membalas dendam.

Operasi itu dilakukan dalam rangka hak pertahanan yang sah dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, dan sebarang kebodohan musuh akan dijawab dengan cara yang merosakkan dan dikesali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg