KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program melibatkan seorang penceramah bebas di sekolah di Malaysia dihentikan serta-merta menyusuli dakwaan individu itu berkelakuan tidak wajar ketika mengendalikan program bersama murid di sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan penuh berhubung dakwaan yang tular di media sosial.

“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang mengendalikan program bersama murid di sekolah.

“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.

“Saya sudah meminta KPM mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada 1 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada masa sama, Datuk Fadhlina turut meminta mana-mana individu termasuk pelajar yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian didakwa supaya tampil membuat laporan polis.

Menurutnya laporan kepada pihak berkuasa penting bagi memastikan kanak-kanak terbabit mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.

“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan teliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai penceramah bebas berkenaan yang aktif mengadakan ceramah di sekolah, dikatakan terlibat dalam perlakuan pedofilia.

Penceramah bebas itu didakwa menjadikan pelajar yang menyertai program kendaliannya sebagai mangsa salah laku seksual.

Ia termasuk melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP).

Satu hantaran di media sosial turut mendakwa Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) membatalkan kebenaran untuk penceramah bebas berkenaan memasuki sekolah di negeri itu.

Pedofilia bukan sahaja kegiatan jenayah tidak bermoral, bahkan perlakuan jijik yang wajib dicegah sebelum membarah kerana membabitkan kanak-kanak, golongan memerlukan perlindungan menyeluruh daripada orang dewasa.