Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kementerian sahkan harga ikan naik hingga 30%

Dec 17, 2025 | 5:30 PM
Peningkatan harga ikan dikesan naik sehingga 30 peratus disebabkan permintaan tinggi pada musim tengkujuh.
Peningkatan harga ikan dikesan naik sehingga 30 peratus disebabkan permintaan tinggi pada musim tengkujuh. - Foto fail

TUMPAT (Kelantan): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Malaysia mengakui berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata ia berikutan permintaan tinggi terhadap bekalan ikan sempena musim tengkujuh pada Disember.

“Hasil pemantauan kita, memang terdapat peningkatan harga ikan di pasaran, namun bukan berlaku secara meluas, sebaliknya membabitkan lokasi tertentu.

“Peningkatan harga ikan dikesan tidak melebihi 30 peratus dan kenaikan itu disebabkan permintaan tinggi pada musim tengkujuh, namun jika ada mana-mana pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai maklumat berlaku manipulasi bekalan oleh pemborong serta peniaga, kita sarankan mereka tampil membuat laporan untuk membolehkan siasatan lanjut.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan, sebaliknya ia hanya dilaporkan oleh pihak media,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun, pada 17 Disember, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Media sebelum ini melaporkan kenaikan harga ikan di Malaysia bukan berlaku disebabkan musim tengkujuh atau kekurangan hasil tangkapan nelayan saja, tetapi turut berpunca daripada manipulasi pasaran oleh sebahagian pemborong.

Pengerusi LKIM, Encik Muhammad Faiz Fadzil, dilaporkan berkata nelayan tetap ke laut mengikut keadaan cuaca, namun pemborong menyimpan bekalan yang banyak sebelum mengeluarkannya ketika stok kurang – antara punca utama harga melambung.

Menurutnya, pemborong memborong bekalan ketika musim ikan melimpah dan menyimpannya dalam ‘bilik sejuk’, kemudian mengeluarkannya ketika bekalan pasaran kurang sambil mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sementara itu, Pengarah KPDN Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata harga ikan di Johor setakat ini hanya mencatat kenaikan kecil dan belum berada pada tahap membimbangkan, walaupun terdapat sedikit pengurangan bekalan susulan faktor cuaca.

Tambahnya, hasil pemantauan pegawai pemantau harga di peringkat negeri mendapati terdapat sedikit kenaikan harga ikan di pasaran, namun ia tidak melibatkan lonjakan ketara atau melampau.

“Keadaan ini selari dengan maklum balas yang diterima daripada pembekal dan peniaga ikan berhubung bekalan yang agak berkurangan ketika ini.

“Pengurangan bekalan berkenaan dipercayai dipengaruhi faktor musim, khususnya Monsun Timur Laut. Bagaimanapun, bekalan ikan masih ada di pasaran meskipun jumlahnya tidak sebanyak kebiasaan,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini pihak KPDN Johor belum menerima sebarang aduan rasmi daripada pengguna atau peniaga berhubung kenaikan harga ikan secara melampau.

Beliau berkata keadaan harga dan bekalan masih terkawal dan dipantau secara berterusan bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi.

Menurutnya lagi pemantauan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa, terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu, bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah serta memastikan bekalan barangan keperluan asas kekal mencukupi di pasaran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg