KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Malaysia telah mengambil langkah kecemasan bagi menstabilkan harga sayur-sayuran menyusuli kenaikan mendadak di beberapa negeri.
Kementerian itu berkata kenaikan harga yang meningkat sehingga tiga kali ganda dalam beberapa kes berpunca daripada penyusutan hasil tuaian yang ketara akibat cuaca ekstrem dan banjir yang menjejas kawasan pertanian.
Menurut KPKM, gangguan bekalan itu bukan hanya berlaku di Malaysia dengan pengeluar utama serantau seperti Thailand dan Vietnam turut berdepan pengurangan hasil akibat banjir musim monsun.
Kementerian itu menambah hujan lebat berterusan dan kawasan tanaman yang digenangi air telah merosakkan tanaman, melambatkan kitaran tumbesaran, serta menghanyutkan bahan pertanian seperti benih, baja dan racun perosak sehingga mengurangkan keberkesanannya.
“Ramai petani juga mengurangkan aktiviti penanaman menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) untuk mengelakkan kerugian, satu langkah yang turut berlaku di negara jiran yang mengalami kesan cuaca sama.
“Sayur berdaun dan kekacang seperti bayam, kangkung, sawi, bendi dan kacang panjang adalah yang paling terjejas dengan anggaran pengurangan hasil antara 40 hingga 50 peratus.
“Kawasan pengeluaran utama yang mengalami kerosakan akibat banjir termasuk Tumpat dan Pasir Mas di Kelantan; Lenggeng dan Kampung Inas di Negeri Sembilan; serta beberapa zon di Padang Besar, Perlis,” kata KPKM dalam kenyataan kepada New Straits Times.
Lokasi lain yang turut terjejas termasuk Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk di Perak; Sabak Bernam di Selangor; Kubang Pasu di Kedah; Besut dan Marang di Terengganu; Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang; serta Raub dan Lipis di Pahang.
Bagi meredakan kesan kenaikan harga, kementerian itu berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mengaktifkan Pelan Pengurusan Kecemasan Bekalan Makanan melalui 15 pusat operasi peringkat negeri.
“Di bawah pelan ini, Fama sedang menyediakan stok komoditi terpilih, termasuk ayam, labu, lobak merah, tomato, kubis bulat dan jagung manis,” katanya.
Jelas KPKM, beberapa strategi penstabilan turut dilaksanakan, termasuk pemantauan bekalan dan harga harian, pengaktifan rantaian bekalan alternatif dari kawasan yang tidak terjejas serta penyelarasan dengan agensi pertanian dan logistik bagi memastikan pergerakan hasil tanaman tidak terganggu.
Kementerian itu berkata Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan MTL yang bermula pada 13 November akan berterusan sehingga Mac.
Ia memberi amaran bahawa gangguan bekalan dan harga yang tinggi dijangka berlarutan hingga awal 2026, selaras dengan trend musim MTL sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg