Warga Singapura yang sedang merancang percutian hujung tahun ke Malaysia kini mempunyai lebih banyak pilihan tarikan, meskipun negara itu berdepan musim hujan di beberapa kawasan.
Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Singapura, Cik Norliza Md Zain, berkata ini susulan pelaksanaan Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2025 yang berlangsung dari 15 November 2025 hingga 1 Januari 2026, serta kepelbagaian destinasi yang sesuai dikunjungi sepanjang tempoh berkenaan.
“Malaysia mempunyai kedudukan geografi unik yang membolehkan pelancongan diteruskan walaupun Pantai Timur mengalami musim hujan, memandangkan Pantai Barat kebiasaannya menikmati cuaca yang lebih baik.
“Antara destinasi sesuai dikunjungi ialah Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan sejarah dan makanan; Langkawi, yang berada pada keadaan terbaik sekitar Disember hingga Februari; serta Pulau Pangkor, yang menawarkan suasana tenang untuk percutian keluarga,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Tambahnya, di Kepulauan Borneo pula, hujan lazimnya berlaku dalam tempoh singkat dan tidak menjejaskan sepenuhnya kegiatan pelancongan.
“Kota Kinabalu sesuai untuk kegiatan pulau dan rekreasi laut bersama keluarga, manakala Kuching menawarkan tarikan kebudayaan dan hidupan liar seperti Pusat Hidupan Liar Semenggoh dan Muzium Budaya Borneo.
“Sandakan pula kekal sebagai destinasi penting bagi peminat hidupan liar menerusi Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu,” ujarnya.
Cik Norliza berkata Kuala Lumpur turut muncul sebagai destinasi “kalis monsun” berikutan kemudahan dalaman yang luas dan bertaraf dunia.
“Pelawat boleh menikmati pengalaman membeli-belah di pusat beli-belah utama seperti The Exchange TRX dan LaLaport Bukit Bintang City Centre, selain meneroka kawasan bersejarah seperti Chinatown yang menawarkan gabungan warisan, kulinari dan tarikan bergambar.
“Kampung Baru serta Jalan Sultan Ismail pula terus menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai juadah tempatan dan suasana tradisional di tengah bandar raya,” katanya.
Beliau menambah kemudahan pengangkutan terkini turut memudahkan pergerakan pelancong dari Singapura ke Malaysia apabila perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) dari JB Sentral ke KL Sentral kini beroperasi dua kali sehari sejak 12 Disember 2025 dan akan ditingkatkan kepada empat kali sehari mulai 1 Januari 2026.
“Laluan ini membolehkan pelancong tiba terus ke pusat bandar Kuala Lumpur dengan lebih cepat, selesa dan praktikal,” katanya.
Cik Norliza berkata Tourism Malaysia yakin gabungan kempen jualan, tarikan pelancongan pelbagai serta kemudahan pengangkutan yang semakin baik akan terus menarik kehadiran pelancong Singapura dan antarabangsa ke Malaysia sepanjang musim hujung tahun 2025.
Tambahnya, Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2025 peringkat nasional itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia serta Malaysia Aviation Group, bagi menawarkan pengalaman percutian dan membeli-belah yang lebih istimewa kepada pelawat antarabangsa dan domestik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg