Topik diikuti
Pergi ke BHkuKenal pasti keperluan keluarga miskin, Johor selaras data
Kenal pasti keperluan keluarga miskin, Johor selaras data
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memberi tumpuan kepada penyelarasan data bagi mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan dan menentukan bentuk sokongan yang sesuai, termasuk akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan bagi membantu mereka keluar daripada lingkaran kemiskinan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata data yang tepat penting bagi memahami cabaran yang dihadapi keluarga sebelum kerajaan negeri merangka langkah untuk membantu mereka.
“Keutamaan diberikan kepada usaha mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan, memahami cabaran yang dihadapi serta merangka intervensi bersesuaian bagi membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya dalam kenyataan pada 10 November.
Beliau mengulas mengenai Bengkel Penyelarasan Data dan Strategi Memangkas Kemiskinan Negeri Johor 2026 yang menghimpunkan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan untuk membincangkan usaha menangani kemiskinan di negeri itu.
Menurut Encik Mohd Fared, selain menyalurkan bantuan sementara, kerajaan negeri mahu membuka lebih banyak peluang kepada keluarga untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka.
“Ini termasuk peluang mendapatkan pendidikan dan pekerjaan yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarga dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata keberkesanan usaha itu perlu dinilai berdasarkan perubahan yang dapat dirasai keluarga dalam kehidupan harian mereka.
“Matlamat kerajaan negeri adalah untuk memastikan golongan yang masih bergelut dengan kemiskinan turut menikmati manfaat pembangunan Johor,” ujar Encik Mohd Fared.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Hasrunizah Hassan, yang turut menghadiri bengkel itu, berkata pertemuan tersebut memberi ruang kepada pihak yang terlibat untuk menyelaraskan data dan berkongsi pandangan sebelum merangka tindakan bersama.
Menurutnya, kerjasama antara agensi kerajaan dengan pihak berkepentingan perlu diteruskan selepas bantuan disalurkan kerana matlamat akhirnya adalah membolehkan keluarga terbabit memperbaiki kehidupan mereka.
“Usaha membasmi kemiskinan bukan sekadar soal menyalurkan bantuan, tetapi turut menuntut komitmen berterusan dalam memperkasa sosioekonomi rakyat, meningkatkan taraf kehidupan dan membuka lebih banyak peluang untuk keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Cik Hasrunizah berkata penyelarasan itu penting supaya keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan mendapat perhatian sewajarnya.