Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeperiksaan sekolah agama Johor diteruskan, calon wajib pakai pelitup muka
Peperiksaan sekolah agama Johor diteruskan, calon wajib pakai pelitup muka
JOHOR BAHRU: Peperiksaan akhir tahun bagi murid Darjah 1 hingga 3 di Sekolah Agama Kerajaan Johor diteruskan dari 19 hingga 23 Oktober meskipun penutupan sekolah dilanjutkan akibat jerebu.
Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) yang dijadualkan sepanjang tempoh sama turut berlangsung seperti ditetapkan, dengan semua calon diwajibkan memakai pelitup muka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, memaklumkan dalam kenyataan pada 18 Oktober bahawa pengecualian terhad diberikan bagi peperiksaan tertentu, tertakluk kepada penyelarasan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan.
“Calon hendaklah hadir pada hari peperiksaan dijalankan sahaja dan hendaklah pulang ke rumah masing-masing sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan pada hari berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Ketetapan tersebut diperincikan oleh Lembaga Peperiksaan Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj), susulan pelanjutan penutupan institusi pendidikan dari 19 hingga 23 Oktober.
Bagi peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) di Sekolah Menengah Agama Negeri Johor di daerah Batu Pahat, kertas Lughah Arabiah Muasirah (LAM) diteruskan pada 20 Oktober.
Sementara itu, tempoh Ujian Lisan Al-Quran bagi Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2026 untuk murid Darjah 5 di Sekolah Agama Kerajaan Johor dilanjutkan sehingga 21 Oktober, sebagaimana diluluskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tempoh Ujian Lisan Al-Quran dan Hafazan bagi peperiksaan akhir tahun murid Darjah 1 hingga 5 pula dilanjutkan sehingga 5 November.
“Semua murid yang tidak terlibat dengan mana-mana peperiksaan tidak perlu hadir ke sekolah sepanjang tarikh penutupan operasi,” menurut kenyataan berkenaan.
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan bagi semua sekolah agama di bawah Jainj untuk memastikan pembelajaran murid tidak terputus sepanjang tempoh tersebut.
Dalam penjelasan terdahulu, Encik Mohd Fared berkata arahan penutupan turut melibatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor dan Sekolah Menengah Agama Negeri Johor.
“Walau bagaimanapun, pengecualian terhad boleh diberikan bagi pelaksanaan peperiksaan tertentu yang tidak dapat ditangguhkan tertakluk kepada penyelarasan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Bagi peperiksaan yang melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta sekolah agama yang menggunakan premis Sekolah Kebangsaan, jadual akan diselaraskan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).
Pelaksanaan peperiksaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan JPNJ.
Bagi Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS), keputusan meneruskan operasi atau menutup institusi serta pelaksanaan PdPR tertakluk kepada pertimbangan pengurusan masing-masing. Institusi berkenaan perlu mematuhi garis panduan, termasuk menjalankan operasi di kawasan tertutup dan pemakaian pelitup muka.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, mengumumkan pelanjutan penutupan institusi pendidikan selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor pada 17 Oktober.