Kerajaan cadang skim insurans khas pekerja M’sia di S’pura
Kerajaan cadang skim insurans khas pekerja M’sia di S’pura
Pekerja M’sia sambut baik langkah lindungi risiko kemalangan dan kos perubatan
Langkah Kerajaan Malaysia untuk merangka satu skim insurans baru khusus untuk rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura disambut baik oleh pekerja rentas sempadan, khususnya mereka yang menggunakan kenderaan sendiri seperti motosikal dan kereta.
Mereka berpendapat skim tersebut penting bagi memastikan mereka terus dilindungi, termasuk ketika berulang-alik setiap hari merentasi Tambak Johor, terutama mereka yang terdedah kepada risiko kemalangan ketika perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.
Seorang kakitangan kesihatan di Singapura, Cik Nur Hidayah Sofea Abdullah, 33 tahun, berkata perlindungan insurans amat penting memandangkan risiko kemalangan sentiasa wujud, terutama bagi penunggang motosikal.
“Risiko kemalangan itu sentiasa ada. Sekurang-kurangnya jika berlaku perkara tidak diingini, kita ada perlindungan perubatan atau pampasan untuk diri sendiri atau keluarga,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Beliau berkata terdapat pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura tanpa sebarang perlindungan insurans, satu keadaan yang disifatkannya sebagai berbahaya.
“Ada yang pergi kerja ke Singapura tanpa sebarang perlindungan langsung. Pada saya, itu sangat berisiko. Jadi dengan adanya skim bantuan kerajaan ini, sekurang-kurangnya mereka yang memerlukan dapat dibela,” tambahnya.
Cik Nur Hidayah turut memaklumkan beliau sendiri mencarum insurans peribadi dengan bayaran bulanan melebihi RM200 ($64) sebagai langkah perlindungan jangka panjang.
Seorang lagi kakitangan perubatan, Cik Azlyana Aznan, 32 tahun, berkata beliau baru mendaftar skim insurans selepas mengalami sakit tulang belakang sehingga terpaksa mendapatkan rawatan berterusan selama tiga bulan.
“Masa mula-mula kerja di Singapura dulu, kawan ada cadangkan ambil insurans tetapi saya tak mahu sebab tak nak tambah komitmen.
“Tapi lepas jatuh sakit hampir tiga bulan, saya menyesal kerana terpaksa keluarkan duit sendiri,” katanya.
Menurut Cik Azlyana, beliau kini menanggung kos rawatan sekitar RM1,000 sebulan bagi merawat masalah sakit belakang yang dialaminya.
“Jadi saya harap apabila kerajaan perkenalkan perlindungan ini nanti, ia bukan sekadar meliputi sebahagian perkara sahaja, tetapi merangkumi perlindungan perubatan dan juga kematian,” katanya.
Terdahulu, The Star melaporkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, berkata satu skim insurans baru akan diwujudkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial, termasuk selepas waktu bekerja.
Beliau menjelaskan bahawa perlindungan sedia ada tidak meliputi tempoh perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah.
“Apa yang berlaku apabila anda sedang dalam perjalanan dari tempat kerja pulang ke rumah? Di mana perlindungan ketika tempoh ini? Perlindungan itu tidak wujud, sebab itu kita sedang merangka skim baru untuk pekerja yang berulang-alik antara Malaysia dengan Singapura,” katanya.
Menurutnya, kajian kebolehlaksanaan bagi inisiatif yang dikenali sebagai Skim Pengembara itu akan dimulakan pada 2026, dan ia merupakan antara keutamaan utama beliau sejak dilantik sebagai menteri pada Disember 2025.
“Pekerja tidak sepatutnya menjadi mangsa hanya kerana mereka bekerja di Singapura.
‘Selagi anda rakyat Malaysia, saya percaya tahap keselamatan dan penjagaan yang sama perlu diberikan,” katanya.
Dianggarkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dengan antara 300,000 dengan 400,000 orang berulang-alik setiap hari dari Johor.
Kementerian Sumber Manusia kini turut meneliti 26 undang-undang berkaitan bagi memastikan kesemuanya relevan dan selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

