Ringgit mengukuh, pekerja M’sia di S’pura perketat perbelanjaan harian
Ringgit mengukuh, pekerja M’sia di S’pura perketat perbelanjaan harian
Pengukuhan nilai mata wang ringgit sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan warga Malaysia yang bekerja di Singapura semakin berhati-hati dalam mengurus perbelanjaan, susulan penurunan ketara pendapatan apabila ditukar kepada ringgit.
Rata-rata mereka yang dihubungi Berita Harian (BH) memaklumkan telah mengalami simpanan dan perbelanjaan harian jatuh sekitar 10 hingga 15 peratus.
Seorang pekerja sektor perkhidmatan dan pengangkutan yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Zack, 36 tahun, berkata walaupun gaji asasnya di Singapura kekal $3,500, nilai sebenar pendapatannya dalam ringgit kini semakin mengecil.
“Gaji asas saya masih sama, $3,500, tetapi bila ditukar kepada ringgit sekarang nilainya sekitar RM10,906. Kalau dulu boleh cecah hampir RM12,000. Dalam sekelip mata, rasa macam daripada T20 (berpendapatan tinggi) terus turun ke M40 (bergaji pertengahan),” katanya.
Menurut beliau, kesan paling ketara dirasai dari sudut pendapatan boleh guna, khususnya untuk perbelanjaan harian.
Beliau berkata perbelanjaan terbesar kini adalah pembiayaan perumahan, diikuti keperluan harian serta pendidikan anak-anak, sekali gus memaksa pekerja sepertinya mengawal emosi dalam berbelanja.
“Kena kawal perbelanjaan harian, jangan boros sangat. Naik atau turun nilai ringgit memang beri kesan besar, bergantung kepada sejauh mana kita bijak urus belanja. Ada yang terkejut budaya, besar periuk besar keraknya, ada juga yang boleh sabar dan simpan,” katanya.
Seorang pekerja bidang perubatan yang mahu dikenali sebagai Encik Hafeez, 35 tahun, berkata beliau mengalami penyusutan pendapatan sekitar RM3,000 dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.
“Saya hilang dalam RM3,000 lebih. Penurunan ini sebenarnya sudah bermula sejak 2025, bila kadar tukaran perlahan-lahan jatuh. Memang terasa, tak boleh nafikan,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Hafeez berkata beliau masih mampu menyesuaikan diri kerana tidak mempunyai komitmen hutang yang besar.
“Saya tak ada pinjaman besar, jadi masih boleh bertahan. Tapi gaya hidup memang berubah. Kalau dulu beli barang tak tengok harga, sekarang RM5,000 pun kena fikir dan tunggu beberapa bulan. Makan luar pun pilih yang biasa-biasa, dah kurang pergi kafe,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidaktentuan pasaran pekerjaan di Singapura.
“Permit kerja pun bukan selamanya terjamin. Jadi memang kena beringat. Kalau kadar jatuh bawah paras tertentu, memang jadi masalah besar,” katanya.
Seorang lagi petugas kesihatan, Cik Azlyana Aznan, 31 tahun, berkata beliau ‘kehilangan’ sekitar RM600 hingga RM800 sebulan sejak November (2025), namun kesannya masih terkawal buat masa ini.
“Duit yang dulu boleh simpan, sekarang kena guna untuk cover simpanan bulanan,” katanya.
Menurutnya, perbelanjaan bulanannya masih boleh diurus selagi ada baki simpanan.
“Saya masih boleh belanja seperti biasa, asalkan ada simpanan. Ramai orang mengeluh, saya pun mengeluh, tapi alhamdulillah masih cukup setiap bulan,” katanya.
Seorang lagi pekerja kesihatan, Cik Nur Hidayah Sofea Abdullah, 33 tahun, berkata beliau mengalami penyusutan sekitar RM600 dan mula mengurangkan perbelanjaan tidak penting.
“Saya potong perbelanjaan yang tak perlu seperti pembelian atas talian dan langganan aplikasi. Benda kecil pun bantu bila mata wang berubah,” katanya.
Beliau berkata langkah berjimat termasuk mengelakkan pinjaman baru dan mencari pendapatan sampingan.
“Saya cuba cari pendapatan sampingan dan jual barangan dalam talian. Perbelanjaan paling besar saya sekarang produk penjagaan kulit, yang sebelum ini hampir RM1,000 sebulan, dan itu pun saya dah mula potong,” katanya.
Seorang pekerja sektor swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Mimi, 28 tahun, berkata beliau mengalami penyusutan pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan.
“Kalau banding dengan awal-awal kerja dulu, memang ketara. Dulu boleh bawa balik lebih RM10,000, sekarang sekitar RM8,000 sahaja,” katanya.
Menurutnya, komitmen bulanan masih terkawal kerana perancangan kewangan dibuat secara berhati-hati sejak awal.
“Saya memang jaga komitmen sebab tak rancang kerja Singapura selamanya. Dulu boleh simpan RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, sekarang sekitar RM3,000 hingga RM4,000. Simpanan kecemasan tidak terusik, cuma sasaran lain kena tarik sikit,” katanya.

