Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan disaran perluas subsidi petrol Budi95

Oct 13, 2025 | 4:56 PM
Budi, diperluaskan, Ron95
Timbalan Presiden Kebangsaan (Dasar dan Perancangan Strategik) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Encik Masrudi Abdul Rahman. - Foto ihsan MASRUDI ABDUL RAHMAN

Kerajaan diseru untuk memperluas kuota tambahan subsidi petrol bagi inisiatif Budi Madani 95 (Budi95) kepada van jenazah milik persendirian bagi memastikan perkhidmatan masyarakat itu tidak terpinggir daripada manfaat subsidi kerajaan.

Timbalan Presiden Kebangsaan (Dasar dan Perancangan Strategik) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Encik Masrudi Abdul Rahman, berkata surau dan masjid yang mempunyai van jenazah boleh membuat permohonan kad fleet kerana ia tersenarai dalam kenderaan komersial yang layak membabitkan sembilan jenis pengangkutan awam.

“Kadang kala komuniti kita ada aset, jadi nak tentukan nak guna kad pengenalan siapa? Itu satu. Kedua, sistem kuota sedia ada hanya memberi kelegaan kepada individu, sedangkan banyak perkhidmatan masyarakat bergantung kepada penggunaan kenderaan secara bergilir-gilir.

“Setiap kad pengenalan ada kuota, dan setiap individu tentunya mahu menggunakan subsidi ini untuk meringankan beban hidup mereka sendiri. Jadi, perlu ada jalan keluar untuk bantu golongan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Beliau menambah bahawa data pelaksanaan Budi95 masih belum lengkap kerana program itu baru dilaksanakan, namun menegaskan keperluan kerajaan menilai semula dasar agar lebih inklusif terhadap perkhidmatan awam seperti pengurusan van jenazah, ambulans, pemandu e-hailing, dan mereka yang bekerja ke luar negeri.

“Kalau van jenazah milik surau atau masjid tidak menjadi masalah sebab mereka boleh guna secara bergilir-gilir, tetapi yang menjadi isu sekarang ialah van jenazah milik persendirian,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dilaporkan berkata petrol RON95 akan dijual pada kadar bersubsidi RM2.05 ($0.63) seliter untuk kenderaan komersial yang layak membabitkan sembilan jenis pengangkutan awam dan 12 sektor logistik.

Tambahnya kadar itu 6 sen lebih tinggi berbanding RM1.99 seliter untuk orang awam, tetapi masih lebih rendah berbanding harga tanpa subsidi.

Datuk Amir berkata sembilan segmen pengangkutan awam itu ialah teksi; kereta sewa; bas sekolah; van jenazah; ambulans; jentera bomba; bas perantara; bas mini; dan bas henti-henti.

Beliau berkata 12 segmen di bawah sektor logistik ialah van panel, van tingkap, van separa panel, lori dan van katering makanan; van perkhidmatan bergerak; lori kotak; lori sejuk beku; dan lori yang menyediakan perkhidmatan bergerak serta membawa kargo am, hasil pertanian dan haiwan.

Dalam perkembangan lain, Encik Masrudi turut menggesa ibu bapa agar lebih peka terhadap kandungan yang ditonton oleh anak-anak, terutamanya apabila ia mengandungi unsur yang bertentangan dengan budaya dan agama.

“Kita lihat baru-baru ini tular di media sosial tentang seruan untuk memboikot Netflix berikutan tayangan animasi yang ada unsur transgender. Jadi, ibu bapa tidak boleh hanya bergantung kepada kawalan ibu bapa (parental control) tetapi perlu memantau sendiri apa yang anak mereka tonton,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg