Pengenalan subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 ($0.61) seliter menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) tidak menimbulkan kekeliruan kepada pemandu Singapura yang kerap mengisi minyak di Johor.
Rata-rata mereka akur dengan larangan penggunaan RON95 bagi kenderaan berdaftar asing.
Seorang pekerja swasta dari Sengkang, Encik Muhammad Noh Ramli, 43 tahun, berkata meskipun warga Singapura tidak menikmati manfaat daripada subsidi berkenaan, langkah itu diyakini membantu warga Malaysia, termasuk mereka yang berulang-alik ke Singapura untuk bertugas.
“Apa-apa usaha kerajaan Malaysia untuk meringankan kos sara hidup rakyatnya perlu dilihat sebagai positif.
“Walaupun warga Singapura tidak menerima manfaat, ia membantu warga Malaysia, termasuk mereka yang berulang-alik setiap hari merentas Tambak,” katanya kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di Johor Bahru.
Pandangan serupa dikongsi penduduk Singapura dari Tampines, Encik Muhd Fadzly Khrudin, 43 tahun, yang berkata beliau sudah terbiasa mengisi RON97 setiap kali ke Johor.
“Subsidi RON95 memang baik kerana ia meringankan beban rakyat tempatan.
“Tidak ada kekeliruan bagi saya sebab dari dulu lagi saya tahu RON95 hanya untuk rakyat Malaysia, sama ada bersubsidi atau tidak sebab memang jelas dipaparkan di semua stesen minyak,” katanya.
Bagi seorang lagi penduduk Singapura, Encik Sabaruddin Tri Putra Sjafril, 42 tahun, beliau cuma berpendapat had penggunaan subsidi 300 liter sebulan mungkin terlalu kecil untuk mereka yang bekerja jauh dari Johor.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, menegaskan hanya rakyat Malaysia layak menikmati subsidi Budi95.
Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan (MyKad) serta memiliki lesen kenderaan sah ketika mengisi minyak.
Beliau menambah, walaupun mustahil menempatkan pegawai penguatkuasaan di setiap stesen minyak, pemantauan tetap dijalankan bersama syarikat minyak bagi mengelak sebarang penyelewengan khususnya melibatkan warga asing.
“Kenderaan asing sama sekali dilarang mengisi RON95. Pengusaha stesen minyak bertanggungjawab memastikan perkara ini dipatuhi,” jelasnya.
Johor dianggarkan mempunyai sekitar 272 stesen minyak yang beroperasi di seluruh negeri.
KPDN Johor turut merancang mengadakan sesi Hari Bertemu Pelanggan pada awal Oktober bagi memberi penerangan lanjut kepada pengusaha teksi, kereta sewa serta pihak berkepentingan lain mengenai inisiatif Budi Madani RON95.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak di Kuala Lumpur dan Selangor mendapati pelaksanaan Budi95 berjalan lancar dan keadaan di pam minyak terkawal, termasuk pada waktu sibuk di sebelah pagi.
Orang ramai yang ditemui mengakui tidak berdepan sebarang masalah, cuma ada segelintir terutama golongan warga emas agak gemuruh kerana kali pertama perlu menyertakan MyKad untuk mengisi petrol.
Sementara warga asing pula mula rasai perbezaan harga RON95 bersubsidi RM2.05 seliter sebelum ini, dengan harga baru RM2.60 seliter bermula 30 September.
Bagi warga emas, Encik Lee Tik Wah, 60 tahun, beliau mendapatkan bantuan pembantu pam untuk mengisi minyak kenderaannya kerana gugup.
“Rupanya selepas ditunjuk ajar ia sangat mudah. Sebelum ini saya hanya baca di media, hari ini saya cuba sendiri.
“Terima kasih kerajaan Madani yang prihatin untuk ringankan kos hidup rakyat dengan turunkan harga petrol RON95,” katanya ditemui BH.
Warga Vietnam, Cik Nguyen Thi Ny, 40 tahun, pula berkata beliau membayar RM60 untuk mengisi 23 liter petrol RON95 berharga RM2.60 seliter ke dalam tangki kenderaan pelbagai guna yang dipandunya.
“Saya berkahwin dengan warga Malaysia dan tinggal di sini sejak 15 tahun lalu, tetapi tidak layak untuk harga petrol bersubsidi kerana bukan pemegang MyKad.
“Tetapi saya okey kerana hormat peraturan negara orang dan tetap gembira suami masih menikmati manfaat subsidi petrol,” katanya.
Penyelia elektrik syarikat swasta, Encik Rosman Hadzir, 54 tahun, pula berkata beliau tidak berdepan masalah untuk mengisi petrol, cuma awalnya sedikit keliru kerana terdapat perbezaan harga yang dipaparkan pada pam minyak dengan resit yang dicetak oleh juruwang selepas melakukan bayaran tunai di kaunter.
“Saya bayar RM20 untuk isi petrol, tetapi di pam tertulis harga RM26. Rupanya perbezaan harga dengan petrol bersubsidi hanya tercatat pada resit, sebaliknya harga di pam tertera RM2.60 seliter.
“Alhamdulillah syukur dengan kepekaan kerajaan memberi inisiatif Budi95 ini, cuma sebagai ketua keluarga yang kerap berulang-alik dari Bangi, Selangor, ke Kuala Lumpur, saya bimbang bagaimana jika kuota had 300 liter sebulan untuk setiap pemandu itu habis.
“Saya harap sepanjang peringkat awal Budi95 ini dilaksanakan, kerajaan boleh pantau dan tambah baik mana-mana kelemahan, termasuk untuk memaparkan baki had liter petrol setiap bulan pada resit bagi memudahkan pengguna terutama warga emas yang kebanyakannya kekok dalam penggunaan aplikasi stesen minyak,” katanya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata harga RM2.60 seliter untuk RON95 tidak bersubsidi akan dikekalkan selama sebulan.
Namun, ia akan berubah secara mingguan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM), sama seperti pelaksanaan harga diesel sebelum ini.
“Selepas sebulan, harga akan berubah setiap minggu berdasarkan harga pasaran global. Kalau harga minyak dunia naik, ia akan naik; kalau turun, harga di sini pun akan turun,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, pula berkata hampir 900,000 warga asing di Malaysia yang memegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kini tidak lagi dapat menikmati subsidi petrol RON95, dengan pelaksanaan penuh Budi95.
Beliau berkata kira-kira 150,000 individu atau 0.88 peratus daripada hampir 17 juta rakyat Malaysia yang layak mendapat manfaat Budi95 pula masih belum mengemas kini maklumat LMM kerana tidak membekalkan nombor kad pengenalan diri yang baru.
“Justeru mereka ini diminta segera ke mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kemas kini MyKad serta pengesahan cap jari supaya mereka tidak tercicir daripada mendapat manfaat Budi95,” katanya.
Menerusi inisiatif Budi95, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merintis program penyasaran subsidi RON95, dengan hanya warga Malaysia yang memegang kad pengenalan dan lesen memandu aktif dapat menikmati petrol bersubsidi RM1.99 seliter pada had 300 liter sebulan, bermula 30 September.
Warga asing yang bermastautin di Malaysia dan memandu kenderaan bernombor pendaftaran tempatan pula dibenarkan membeli RON95 dengan harga tanpa subsidi RM2.60 seliter, bermula tempoh sama.
Bagaimanapun, kenderaan dengan nombor pendaftaran asing masih tertakluk pada peraturan dengan hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 pada harga semasa, walaupun harga RON95 telah diapungkan mengikut harga pasaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg