JOHOR BAHRU: Seramai 3,749 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) di negeri ini akan menerima bantuan khas RM3,000 ($905) daripada kerajaan negeri pada 26 Mac.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan berjumlah RM11.24 juta ($3.4 juta) itu akan diagihkan serentak di enam daerah terjejas bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan mengalami kerosakan harta benda.
“Susulan pengumuman kerajaan negeri berkenaan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL), bantuan berjumlah RM11.24 juta akan disalurkan kepada 3,749 KIR yang berdaftar di PPS.
“Setiap KIR akan menerima sebanyak RM3,000 yang akan diberikan serentak di enam daerah yang terjejas pada 27 Mac 2025 (Khamis),” katanya dalam kenyataan pada 25 Mac.
Sejak 18 Mac lalu, negeri Johor dilanda banjir yang disifatkan penduduk sebagai antara terburuk pernah melanda selepas bencana banjir besar 2006, iaitu 19 tahun lalu.
Bencana itu menyebabkan banyak rumah ditenggelami banjir sehingga ada yang mencecah paras bumbung, selain menimbulkan kesesakan jalan raya luar biasa di sekitar Johor Bahru.
Banjir yang melanda enam daerah – Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian, Kluang, Kulai, dan Batu Pahat – berpunca daripada taburan hujan luar biasa mencecah 150 milimeter (mm) berbanding purata hanya 20 mm, ditambah dengan fenomena air pasang sekitar 3.0 meter, yang menyebabkan banjir luar jangka, lapor Astro Awani.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg