Banjir di Johor kian memburuk dengan lebih 11,000 mangsa dipindahkan dari kediaman masing-masing ke 96 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah, menjelang kira-kira 10 hari lagi perayaan Aidilfitri.
Bencana yang disifatkan antara yang terburuk pernah melanda Johor dalam tempoh lebih 10 tahun itu menyaksikan kediaman penduduk dan pelbagai bangunan ditenggelami air bah sehingga hanya menampakkan paras bumbung dan kerosakan harta benda termasuk persiapan perayaan yang bakal menjelang.
Jumlah mangsa melebihi 11,000 itu yang dicatatkan setakat 5 petang 21 Mac menunjukkan peningkatan mendadak berbanding lebih 1,600 mangsa yang dilaporkan Berita Harian pada tengah hari 20 Mac.
Berdasarkan maklumat di portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Johor Bahru menjadi daerah paling teruk dinaiki air sehingga terpaksa memindahkan hampir 4,500 mangsa ke 26 PPS.
Daerah Kluang pula menyaksikan lebih 2,000 mangsa terkesan dan berlindung di 27 PPS; masing-masing Pontian dan Kota Tinggi (lebih 1,600 mangsa); Kulai (lebih 1,200 mangsa) dan Batu Pahat (lima mangsa).
Bencana buruk itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru dan banyak kenderaan terperangkap sehingga lima jam dalam kesibukan trafik akibat banyak jalan ditenggelami air.
Sebagai langkah keselamatan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak menutup bekalan elektrik di beberapa lokasi di tiga daerah terjejas banjir iaitu di Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru, sejak 20 Mac.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di akaun media sosial Facebook rasminya menitipkan rasa sedih terhadap nasib yang menimpa mangsa banjir di Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Malaysia menegaskan usaha sedang digiatkan daripada operasi menyelamat hingga penyaluran bantuan keperluan asas, supaya mangsa terkesan mendapat perlindungan sewajarnya.
“Pada saat kita memasuki 10 hari terakhir Ramadan, saudara-saudara kita di Johor, Sabah dan Sarawak sedang diuji dengan bencana banjir yang di luar jangkaan. Hati saya tersentuh tatkala mendengar rintihan mereka yang terkesan.
“Kerajaan melalui bahagian pengurusan bencana, mengerahkan segala tenaga dan aset terbaik bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk di negeri terlibat banjir,” katanya.
Setakat 21 Mac, Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, memaklumkan sebanyak tujuh sekolah di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pasir Gudang ditutup akibat terjejas banjir, manakala 47 sekolah dijadikan PPS membabitkan daerah Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Pasir Gudang.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 25 Mac dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata dalam tempoh itu fenomena cuaca berpotensi menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pada struktur tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg