Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan Johor sedia bantu mangsa penipuan pakej haji

Jun 16, 2025 | 10:38 AM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersedia memberikan bantuan diperlukan pihak berkuasa dalam menyelesaikan penipuan pakej haji yang mempunyai kaitan dengan jemaah dan pengendali dari negeri itu.

Ia susulan laporan polis dibuat sekumpulan jemaah yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej haji dipimpin seorang agamawan di Johor.

Mengulas perkembangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, memberi jaminan kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu terbabit.

Mengakui sedih apabila kes penipuan membabitkan ibadah haji terus berlaku, beliau berkata lebih mendukacitakan apabila mangsa terdiri warga emas dan mereka dalam keadaan kesihatan yang memerlukan perhatian dan rawatan.

“Mereka juga didakwa dikurung dan diarah melalui laluan berbahaya bagi tujuan mengerjakan haji tanpa kebenaran dan visa yang sah,” katanya menerusi kenyataan media pada 15 Jun.

Terdahulu, media melaporkan hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan, lapor Berita Harian Malaysia.

Dilaporkan, jemaah yang terpedaya dengan janji manis, mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tiada visa haji.

Sehubungan itu, Encik Mohd Fared menasihatkan waris jemaah haji yang menjadi mangsa bersabar dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut.

“Kerajaan negeri juga bersedia memberikan bantuan yang diperlukan pihak berkuasa dalam penyelesaian isu ini, termasuk mendidik masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mengelakkan insiden seperti ini berterusan

“Saya sendiri mengikuti rapat perkembangan kes ini dan mendoakan supaya keselamatan jemaah yang terjejas sentiasa terjaga,” katanya.

Encik Mohd Fared juga meminta orang ramai supaya sentiasa percaya dan menggunakan kepakaran dan khidmat nasihat Lembaga Tabung Haji (TH) dalam urusan menunaikan ibadah haji.

“Tiada langkah pintas bagi menunaikan rukun Islam kelima,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg