Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Visa mujamalah boleh ‘jerat’ bakal jemaah haji M’sia

Meski risiko sudah diketahui, tawaran haji luar kuota rasmi tetap tarik minat jemaah
Jun 15, 2025 | 5:30 AM
 Lembaga Tabung Haji, Malaysia, makkah
Jemaah haji Malaysia yang mengerjakan haji menerusi visa haji di bawah kendalian Lembaga Tabung Haji (TH) diuruskan dengan baik sepanjang menunaikan rukun Islam kelima itu di Makkah. - Foto FACEBOOK LEMBAGA TABUNG HAJI

Tidak dapat disangkal, sejak beberapa tahun lalu, kes penipuan haji di Malaysia kian meningkat, walaupun kerajaan dan pihak berkuasa Malaysia berulang kali mengeluarkan peringatan supaya umat Islam berwaspada daripada terpedaya dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan media Malaysia, sebanyak 11 kes penipuan pakej haji direkodkan pada 2023 membabitkan nilai kerugian mencecah RM650,000 ($197,115). Jumlah kes pada 2024 pula dilaporkan menurun, namun jumlah kerugian meningkat ketara kepada RM874,100.

Pada 2025 pula, dianggarkan hampir 200 bakal jemaah terkandas dan terpaksa melupakan keinginan tunai haji.

Tempoh menunggu terlalu lama sehingga mencecah puluhan tahun bagi Muslim Malaysia menunaikan haji, selain keterujaan terhadap tawaran pakej haji oleh agensi pelancongan (TA) yang menabur pelbagai janji manis, menjadi antara punca ramai terpedaya dengan penipuan pakej haji di Malaysia.

Berdasarkan rekod, dianggarkan lebih empat juta daripada kira-kira 9.5 juta pendeposit (penyimpan) Tabung Haji (TH) telah mendaftar dan menunggu giliran menunaikan rukun Islam kelima itu. TH ialah badan pengurusan haji tunggal di Malaysia yang ditubuhkan kerajaan.

Di Malaysia, umat Islam berpeluang menunaikan haji menerusi dua jenis visa yang dibenarkan. Pertama dipanggil visa haji biasa – diuruskan TH mengikut kuota tahunan yang telah diperuntukkan kepada Malaysia. Untuk musim haji 2025, kerajaan Arab Saudi meluluskan sejumlah 31,600 tempat buat jemaah haji Malaysia.

Kedua dipanggil visa mujamalah – yang dikeluarkan kerajaan Saudi kepada individu atau kumpulan tertentu, di luar kuota haji rasmi yang diperuntukkan kepada Malaysia.

Visa itu juga adalah pilihan bagi jemaah yang ingin menunaikan haji tanpa melalui TH, namun jemaah wajib berdaftar haji dengan TH.

Pada 2025, sejumlah 37 syarikat TA Bumiputera telah dilantik TH bagi mengelola jemaah haji Malaysia, meningkat berbanding 27 TA pada 2024.

Namun, banyak kes penipuan pakej haji di Malaysia adalah membabitkan visa mujamalah kerana visa itu tidak diperoleh lebih awal berbanding visa haji biasa.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata dalam kebanyakan kes, rata-rata mangsa penipuan haji sudah mengetahui sejak awal risiko visa mujamalah, yang mana visa itu lazimnya hanya diperoleh TA pada saat akhir – itu pun jika bernasib baik.

Datuk Razali menegaskan pemergian tunai haji tanpa melalui TH memang berisiko.

Menurutnya, ada segelintir TA pula membawa jemaah ke Makkah menggunakan visa pelancong atau visa umrah pada musim haji, menyebabkan ada jemaah diusir keluar dari Makkah, terutama selepas kerajaan Saudi memperketatkan peraturan hanya jemaah dengan visa haji sah boleh berada di Makkah pada musim haji 2025.

“Dalam kes ini pula, kebanyakan jemaah TA menjanjikan peluang bagi jemaah umrah ini menunaikan haji. Dalam kata lain cuba nasib. Tetapi malangnya tak berjaya ‘menyelit’ untuk tunaikan haji,” jelasnya kepada Berita Minggu (BM).

Kata Datuk Razali, kos menunaikan haji menerusi visa mujamalah kebiasaannya bermula daripada sekitar RM70,000 hingga RM180,000 – bergantung tahap premium perkhidmatan dan penginapan yang ditawarkan.

Laporan media Malaysia menyebut, syarikat TA yang berdaftar sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) boleh memperoleh visa mujamalah daripada kedutaan Saudi, namun kebenaran untuk mereka menguruskan jemaah tertakluk kepada kelulusan visa itu.

Masalah timbul apabila visa mujamalah ini dikatakan gagal diperoleh TA sehingga saat akhir, maka terjadilah kes bakal jemaah haji terkandas sama ada di Malaysia mahupun Makkah.

Sementara itu, penasihat undang-undang yang juga aktivis Mind Pro Management (MPM), Cik Ena Awil, berkata penipuan pakej haji mutakhir ini lebih parah dengan modus operandi memperdaya mangsa menerusi tawaran menunaikan haji secara percuma atau dipanggil ‘infak haji’ – kononnya atas tajaan pihak tertentu yang bermurah hati.

“Dalam kes infak haji, ada yang tidak membabitkan kerugian wang ringgit, tetapi ada juga mangsa yang dimanipulasi apabila pihak yang ingin menaja meletakkan syarat cagaran tertentu sebelum visa diperoleh.

“Sebagai contoh, bakal jemaah itu diminta bayar RM10,000 kononnya sebagai tanda komitmen terhadap pakej haji yang ditawarkan.

“Kebanyakan mangsa pula adalah warga emas yang sudah pencen, yang memang ada wang tunai haji, jadi mereka tak kisah ‘melabur’ asal hajat tunai haji tercapai, malangnya tidak kesampaian,” katanya kepada BM sambil menambah bahawa kebanyakan mangsa ‘dipukau’ dengan dokumen dan surat tawaran haji palsu.

Cik Ena, yang menubuhkan MPM untuk membantu mangsa penipuan haji selepas kedua ibu bapanya menjadi mangsa pada 2024, berkata undang-undang yang longgar, ditambah keengganan bakal jemaah membuat semakan terperinci mengenai tawaran haji diterima, menyebabkan kes penipuan haji kian berleluasa.

“Sepatutnya, Malaysia perketatkan undang-undang supaya visa pelancong tidak dibenarkan terbang ke Saudi pada musim haji. Ini boleh mengekang TA tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan tawarkan pakej haji tanpa visa sah,” katanya.

Visa haji
Proses pendaftaran: Melalui Tabung Haji (TH) berdasarkan kuota negara dan giliran
Masa menunggu: Mencecah puluhan tahun
Kos: Lebih rendah dan terkawal dengan subsidi kerajaan (RM15,000-RM30,000)
Kemudahan: Lokasi khemah di Mina dan Arafah ditentukan TH, biasanya lebih jauh

Visa mujamalah
Proses pendaftaran: Melalui agensi pelancongan atau undangan individu tertentu
Masa menunggu: Bergantung ketersediaan visa
Kos: Lebih mahal, bergantung tahap premium pakej (RM70,000 hingga RM180,000)
Kemudahan: Khemah di Mina dan Arafah lebih dekat dan kemudahan lebih baik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg