Kerajaan Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Anti-Buli sebagai langkah menyeluruh membanteras gejala buli di sekolah dan asrama, sejajar dengan hasrat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang mahu semua institusi pendidikan menjadi kawasan selamat untuk anak-anak.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri memandang berat isu buli kerana ia bukan sekadar salah laku disiplin, sebaliknya satu bentuk jenayah sosial yang mampu merosakkan kehidupan, menghancurkan keluarga, serta menggugat masyarakat.
“Buli dalam apa jua bentuk, sama ada fizikal, mental, lisan mahupun siber tidak boleh dikompromi kerana tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Ogos.
Beliau menjelaskan jawatankuasa berkenaan akan menumpukan usaha kepada beberapa bidang utama.
Antara tumpuannya ialah penyelarasan dengan pihak sekolah melalui taklimat, mesyuarat berkala bersama guru besar dan pengetua, serta penetapan prosedur campur tangan dan mekanisme pelaporan pantas bagi setiap kes.
Selain itu, pelajar akan diberi peranan aktif melalui program rakan sebaya serta pelantikan Duta Anti-Buli untuk memberi sokongan kepada mangsa dan melaporkan insiden.
“Peranan ibu bapa dan masyarakat juga diperkukuh dengan penganjuran bengkel kesedaran, kumpulan sokongan keluarga, dan saluran aduan sulit yang lebih mudah diakses.
“Kerajaan negeri turut menekankan kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelaksanaan program kepolisan masyarakat di sekolah.
“Usaha itu dilengkapkan dengan kempen kesedaran, khidmat kaunseling serta pembangunan modul sahsiah murid yang lebih tersusun,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata penekanan khusus akan diberikan kepada sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah agama serta sekolah lain yang mempunyai asrama kerana persekitaran berhierarki di situ cenderung mewujudkan budaya senioriti melampau yang membuka ruang kepada perlakuan buli.
“Sekolah dan asrama mesti menjadi zon selamat, bebas daripada ancaman, dan setiap mangsa mesti berani tampil membuat laporan dengan jaminan bahawa aduan mereka diberi perhatian segera,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melaksanakan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli, penggunaan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), serta kerjasama dengan PDRM melalui peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).
Datuk Onn Hafiz mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab menghentikan budaya buli bukan hanya dipikul sekolah atau pihak berkuasa, tetapi harus digalas bersama seluruh rakyat.
Orang ramai diminta segera membuat laporan melalui Sistem Aduan Buli KPM di talian 03-8884 9325 atau WhatsApp 014-800 9325, manakala bagi murid tadika dan prasekolah, aduan boleh disalurkan ke Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019-261 5999.
“Setiap laporan boleh menyelamatkan nyawa serta masa depan seorang anak Johor. Semoga usaha ini melindungi mereka daripada pengaruh budaya ganas dan memastikan negeri ini kekal sebagai kawasan selamat untuk semua,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg