Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia batalkan larangan terbit komik karya mantan ahli DAP

Aug 13, 2024 | 4:25 PM
Komik kontroversi, ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ karya mantan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Hew Kuan Yau, yang lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ yang dibatalkan pengharamannya oleh Kerajaan Malaysia dan diwartakan pada 12 Ogos.
Komik kontroversi, ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ karya mantan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Hew Kuan Yau, yang lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ yang dibatalkan pengharamannya oleh Kerajaan Malaysia dan diwartakan pada 12 Ogos. - Foto FACEBBOK HEW KUAN YAU

Kerajaan Malaysia membatalkan perintah larangan penerbitan buku komik kontroversi karya mantan ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Hew Kuan Yau, yang lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’.

Pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu berlaku dua tahun selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung pengharaman komik itu.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos, pembatalan larangan itu dibuat berdasarkan perintah yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 6 Ogos.

Perintah itu membatalkan perintah larangan terdahulu yang dikeluarkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada 23 Oktober 2019, ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Pembatalan larangan itu terpakai bagi penerbitan komik itu dalam tiga bahasa, iaitu versi Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Komik itu pada mulanya diharamkan oleh KDN pada Oktober 2019 kerana terdapat kandungan yang dibimbangi memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, selain menggugat moral serta kepentingan awam dan negara atau berkemungkinan mengelirukan pendapat awam.

Larangan tersebut yang diwartakan pada 2019 melarang percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, pengedaran, atau pemilikan buku komik berkenaan secara mutlak.

Ini kerana komik berkenaan didakwa mengangkat imej China dan inisiatif ‘Sejalur Sejalan’ atau lebih dikenali sebagai Belt and Road Initiative, strategi pembangunan China untuk melabur di lebih 150 negara dan organisasi antarabangsa, selain menggambarkan dunia Barat menerusi lensa negatif.

Antara lain, ia dikatakan cuba mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Komik itu juga didakwa memberi bayangan orang Islam adalah penyokong pengganasan apabila satu helaian yang tersebar menunjukkan bahawa penduduk Uighur yang berada di Xinjiang, China, merupakan parti pemisah dan pengganas di negara itu.

Pengharaman komik berkenaan telah menjadi isu hangat dan perdebatan dalam politik Malaysia, khususnya dalam kalangan pihak yang melihatnya sebagai satu bentuk sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, pada 6 Julai 2022, Encik Hew berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan larangan terhadap penerbitan komik tersebut.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa buku komik berkenaan tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Malah, menurut keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum KDN mengharamkan buku tersebut.

Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan ketika itu cuba mengembalikan semula larangan penerbitan komik berkenaan, tetapi permohonan untuk mendapat kebenaran itu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 8 Disember 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg