Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia nafi runding bayaran semula kes 1MDB dengan Jho Low
Kerajaan M’sia nafi runding bayaran semula kes 1MDB dengan Jho Low
Timbalan Kewangan turut umum empat kos atau kerugian dikenal pasti susulan skandal 1MDB
Kerajaan M’sia nafi runding bayaran semula kes 1MDB dengan Jho Low
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menafikan dakwaan ada membuat rundingan pakej pembayaran semula bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, dan delegasi China.
Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Encik Liew Chin Tong, antara lain menafikan laporan Sarawak Report dan Wall Street Journal (WSJ) yang menyiarkan berita berhubung dakwaan terbabit.
“Saya menafikan tuduhan terbabit,” katanya ringkas menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (AP) Muar dari parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung perkara itu, pada sesi lisan di Dewan Rakyat pada 9 Julai, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Encik Liew berkata sejumlah RM48.7 bilion ($15.44 bilion) daripada Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) diluluskan melalui belanjawan tahunan digunakan untuk membiayai obligasi kewangan 1MDB, sejak 2017.
“Sejumlah RM13 bilion daripada DE terpaksa diperuntukkan bagi melunaskan bon 1MDB bernilai AS$3 bilion yang dijamin kerajaan, sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran pada Mac 2023.
“Jumlah ini bersamaan kira-kira 13.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan DE, bagi Belanjawan 2023,” katanya, menjawab soalan tambahan AP Stampin dari Pakatan Harapan, Encik Chong Chieng Jen, mengenai impak 1MDB terhadap belanjawan negara.
Mengenai langkah mengelak skandal sedemikian berulang, beliau berkata ia membabitkan penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengehadkan kuasa Menteri Kewangan membuat keputusan.
“Akta Audit 1957 turut dipinda bagi memperluas skop pengauditan Ketua Audit Negara melalui pendekatan ‘follow the public money’ (berpandukan dana awam) bagi membolehkan prosedur dilaksanakan ke atas penggunaan dana awam secara menyeluruh.
“Seterusnya, penggubalan Akta Perolehan Kerajaan, selain usaha menggubal Akta Syarikat Milik Kerajaan. Ini sebahagian daripada usaha membaiki tadbir urus dan memastikan skandal ini tidak berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Encik Liew berkata empat kos atau kerugian dikenal pasti susulan skandal 1MDB kepada negara, antaranya jumlah hutang bernilai RM51 bilion yang perlu ditanggung kerajaan.
Ini kerana, katanya, kerajaan terpaksa membiayai obligasi kewangan bernilai RM20.1 bilion daripada keseluruhan hutang 1MDB, selain mengakui sukar untuk meraih semula jumlah itu.
“Negara juga berdepan kos lepas kerana peruntukan ini boleh digunakan untuk membiayai pelbagai tujuan, selain reputasi Malaysia turut tercalar akibat skandal ini,” kata AP Iskandar Puteri itu.
