KUALA LUMPUR: Tuntutan saman berjumlah AS$2.7 bilion ($3.5 bilion) difailkan terhadap Standard Chartered Bank (Singapore) Limited berhubung dakwaan peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan diteruskan dengan perbicaraan.

Saman itu difailkan pada Jun 2025 oleh tiga entiti yang diperbadankan di Kepulauan Virgin British, yang kini berada di bawah pengurusan penyelesai (liquidator) bebas yang dilantik mahkamah.

Ketiga-tiga entiti itu didakwa digunakan untuk menyalurkan dana 1MDB yang diseleweng, iaitu Alsen Chance Holdings Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited, dan Brightstone Jewellery Limited.

Penyelesai bebas yang bertindak bagi plaintif ialah Cik Angela Barkhouse, dan Cik Toni Shukla, kedua-duanya daripada firma Kroll, sebuah syarikat antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan nasihat berkaitan risiko, kewangan, tadbir urus korporat, penyiasatan forensik serta pemulihan aset.

Mahkamah Tinggi Singapura, dalam keputusannya pada 30 Jun, menolak rayuan Standard Chartered terhadap keputusan Mahkamah Negara yang tidak membenarkan permohonannya untuk membatalkan saman difailkan penyelesai bagi tiga entiti terbabit.

Dalam tuntutan saman itu, penyelesai yang mewakili syarikat plaintif mendakwa Standard Chartered meluluskan lebih 100 pemindahan dana dalaman yang membantu menyembunyikan dana yang diseleweng, selain mengabaikan pelbagai tanda amaran.

Dalam satu kenyataan oleh penyelesai pada 1 Julai, mereka mengalu-alukan keputusan itu sambil menyatakan ia mengesahkan tuntutan terhadap Standard Chartered wajar diteruskan dengan perbicaraan supaya semua keterangan dapat diteliti sepenuhnya.

“Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Jun yang mengekalkan keputusan (Mahkamah Negara) menolak permohonan Standard Chartered untuk membatalkan saman.

“Keputusan ini mengesahkan tuntutan terhadap bank itu, termasuk dakwaan membantu secara tidak jujur serta melanggar kewajipan bank untuk melaksanakan tahap kemahiran dan penjagaan yang munasabah, sewajarnya diteruskan ke perbicaraan.

“Kami kekal bertekad untuk mendapatkan semula aset yang diseleweng daripada syarikat berkenaan dan memastikan pihak bertanggungjawab memudahkan penyelewengan, dipertanggungjawabkan sebagai sebahagian daripada penipuan yang lebih besar membabitkan 1MDB.

“Kami juga mengalu-alukan keputusan itu sebagai satu langkah positif dalam usaha mendapatkan semula aset, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam tuntutan saman itu, plaintif diwakili peguam kanan, Encik Lok Vi Ming SC (Senior Counsel); Encik Joseph Lee; Encik Mohd Haireez; Encik Tan Kah Wai dan Encik Koo Jin Rong daripada LVM Law Chambers LLC.

Firma Lim Chee Wee Partnership yang berpangkalan di Kuala Lumpur pula bertindak sebagai peguam penyelaras dunia bagi semua usaha mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB di Malaysia dan luar negara.

Sementara itu, portal Free Malaysia Today melaporkan, Standard Chartered Singapura akan memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan lanjut selepas Mahkamah Tinggi negara itu membenarkan saman berjumlah AS$2.7 bilion diteruskan ke peringkat perbicaraan, berhubung dakwaan peranan dalam skandal 1MDB.

Seorang jurucakap Standard Chartered berkata bank itu akan mempertahankan diri dengan tegas.

“Keputusan terbaru dalam rayuan bank untuk membatalkan saman ini bukanlah keputusan mengenai merit tuntutan tersebut.

“Walau apa pun, kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah dan berhasrat untuk memohon kebenaran bagi memfailkan rayuan lanjut,” ujar jurucakap itu dalam satu kenyataan.