Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia pantau kewangan AirAsia, bincang pelan kontigensi
Malaysia Airlines, Batik Air hanya mampu ambil alih operasi dalam skala besar jika peroleh pajakan pesawat syarikat
Kerajaan M’sia pantau kewangan AirAsia, bincang pelan kontigensi
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambah rendah Malaysia, AirAsia, dilaporkan mengalami tekanan kewangan, dengan media antarabangsa melaporkan perbincangan membabitkan Kerajaan Malaysia dengan beberapa pihak telah dimulakan, untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang lebih serius.
Kerajaan Malaysia dilaporkan telah mengemukakan pertanyaan kepada Malaysia Airlines dan Batik Air mengenai keupayaan mereka menyerap bahagian pasaran domestik AirAsia.
Ia dilaporkan Reuters sebagai sebahagian perancangan senario ketika pihak berkuasa memantau kedudukan kewangan syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia Tenggara itu, menurut dua sumber yang mengetahui perkara berkenaan.
AirAsia berdepan lonjakan kos bahan api susulan perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran, dengan harga bahan api meningkat 66 peratus pada suku kedua berbanding suku sebelumnya kepada purata AS$183 ($233.05) setong.
Menurut sumber, perbincangan berkenaan yang turut membabitkan Kementerian Kewangan dan pengendali lapangan terbang berkaitan kerajaan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), adalah sebahagian perancangan lebih luas untuk menghadapi kemungkinan tekanan kewangan AirAsia menjadi lebih serius.
Antara pilihan lain yang pernah dibincangkan ialah kemungkinan kerajaan memberikan suatu bentuk sokongan atau pengesahan bagi membantu rancangan AirAsia mendapatkan modal baharu daripada pelabur luar, walaupun bentuk sebenar sebarang bantuan masih belum jelas.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan secara bebas gambaran penuh kedudukan kewangan AirAsia.
Malaysia Airlines dan Batik Air memaklumkan kerajaan bahawa mereka hanya mampu mengambil alih operasi AirAsia dalam skala besar jika turut memperoleh pajakan pesawat syarikat itu, menurut seorang daripada sumber berkenaan.
Sumber itu berkata, menyerap laluan dan jumlah penumpang AirAsia tanpa pesawat tambahan akan menjadi jauh lebih sukar.
Kededua syarikat penerbangan berkenaan juga menyatakan kesediaan untuk berkembang secara organik bagi mengambil alih sebahagian laluan dan penumpang AirAsia, berbanding membeli keseluruhan perniagaannya, menurut sumber.
AirAsia sebelum ini berkata ia menguasai kira-kira 40 peratus keseluruhan pasaran penerbangan Malaysia dan sekitar 60 peratus penerbangan domestik.
MAHB enggan mengulas mengenai prospek kewangan AirAsia, manakala Kementerian Kewangan, Batik Air dan Malaysia Airlines turut enggan memberikan komen.
Menurut empat sumber, AirAsia yang mempunyai liabiliti semasa berjumlah RM18.4 bilion setakat 30 Jun, berhutang sekurang-kurangnya RM500 juta kepada MAHB bagi perkhidmatan termasuk caj pendaratan dan parkir.
Dua daripada sumber berkenaan berkata MAHB sudah memberikan lanjutan tempoh bayaran kepada syarikat penerbangan itu.
Isu tekanan kewangan AirAsia turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas dari Parti Islam SeMalaysia (PAS), Encik Ahmad Fadhli Shaari, yang sebelum ini menuntut penjelasan kerajaan, apabila Kementerian Kewangan dilaporkan melantik syarikat perunding untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia.
Beliau mempersoalkan keperluan untuk melantik Alton Aviation Consultancy untuk tujuan itu dan sama ada kerajaan menimbang bentuk sokongan kepada AirAsia serta langkah awal ke arah sokongan kewangan.
AirAsia pernah dilaporkan mula mengalami tekanan kewangan sejak pandemik Covid-19, sebelum pulih dan kembali menghadapi tekanan menyusuli konflik Timur Tengah sejak Februari lalu, yang telah menyebabkan lonjakan kos bahan api mendadak.
