Topik diikuti
Pergi ke BHkuCari kelainan, warga S'pura pilih agensi pelancongan M'sia
Cari kelainan, warga S'pura pilih agensi pelancongan M'sia
Meski pernah ditipu, ada yang tidak serik, sebaliknya berhati-hati pilih pakej
Cari kelainan, warga S'pura pilih agensi pelancongan M'sia
Minat mengembara membawa guru pesara, Cik Zalinah Lias, 61 tahun, ke pelbagai pelosok dunia sejauh Balkan, Greece, Turkey dan Kazakhstan.
Apa yang menariknya, beliau sering menggunakan khidmat agensi pelancongan Malaysia, meskipun ini bermakna ada kalanya beliau perlu ke Malaysia dahulu dan mengikuti rombongan dari sana.
Namun, beliau tetap mendapatinya perjalanan tambahan itu berbaloi apabila diambil kira penjimatan wang.
JADUAL DISESUAIKAN SELAIN JIMAT KOS
Cik Zalinah merupakan antara pelancong Singapura yang kian gemar menggunakan khidmat agensi pelancongan Malaysia dan mengikuti pakej yang ditawarkan syarikat pelancongan dari seberang.
Selain penjimatan disebabkan kuasa mata wang Singapura berbanding ringgit Malaysia, antara lainnya, warga Singapura ini juga menginginkan pengembaraan yang menjaminkan makanan halal dan menitikberatkan waktu solat semasa pengembaraan mereka.
Seorang lagi pesara warga Singapura, Cik Sidah Sahel Baqsheer, 72 tahun, yang mula menggunakan khidmat syarikat pelancongan Johor Bahru, Malaysia, dari awal 2025 menambah, antara sebab beliau memilih agensi tersebut adalah kerana jadual perjalanannya disesuaikan untuk pelancong Muslim.
“Sewaktu kami membuat lawatan ke Srinagar, Kashmir, di utara India, pemandu pelancong kami menyesuaikan program perjalanan untuk pelancong Muslim dengan menggantikan lawatan ke tapak dan upacara keagamaan bukan Islam kepada kegiatan membeli-belah dan daya tarikan lain.”
Walaupun tidak pernah menyasarkan pasaran Singapura secara langsung menerusi iklan media sosial, Jejak Vacation Networks tetap menerima pelanggan dari Singapura, hasil cadangan dari mulut ke mulut dan carian menerusi laman webnya, kata Ketua Penjualan, Encik Encik Ishak Saufi.
“Kami tidak pernah menyasarkan warga Singapura secara khusus kerana kami tahu ia memerlukan pendaftaran dengan pihak berkuasa pelancongan Singapura.
“Setakat ini, kami sudah membawa lebih 200 warga Singapura mengikuti pakej kami dari Malaysia sejak lima tahun lalu,” tambahnya.
Pemerhatian industri menunjukkan bahawa sesetengah pakej yang ditawarkan agensi pelancongan Malaysia boleh menjadi lebih murah berbanding pakej serupa yang dijual di Singapura, khususnya bagi destinasi tertentu dan perjalanan berkumpulan.
Umpamanya, BM mendapati harga percutian 11 hari ke Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan yang ditawarkan syarikat pelancongan Singapura bermula daripada $5,000 untuk seorang, manakala sebuah syarikat pelancongan Malaysia menawarkan pakej yang sama pada harga RM12,099 ($3,790) untuk seorang.
Menurut Encik Jeffri Munir, Ketua Pegawai Eksekutif, Majestic Tourism Johor, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor, kos tenaga kerja, sewaan premis dan perbelanjaan perniagaan yang lebih rendah membolehkan sebahagian agensi pelancongan Malaysia menawarkan pakej pada harga yang lebih berdaya saing.
“Banyak agensi Malaysia memberi tumpuan kepada pakej yang berlepas dari Kuala Lumpur atau Johor Bahru, sekali gus membolehkan mereka memanfaatkan rangkaian penerbangan dan pengaturan darat yang lebih menjimatkan kos,” kata Encik Jeffri.
Beliau menambah, syarikat penerbangan kos rendah seperti AirAsia X dan Batik Air turut membantu mengekalkan harga pakej pada kadar yang lebih mampu milik.
Menurut Encik Jeffri, Tourism Johor memegang rekod rasmi Asia bagi jumlah ketibaan pelawat antarabangsa tertinggi menerusi pintu masuk sempadan darat, dengan sekitar 24 juta ketibaan direkodkan, termasuk lebih 19 juta pelawat dari Singapura pada 2025.
SAMBUTAN BAIK DARIPADA WARGA S’PURA
Melihat sambutan yang semakin menggalakkan terhadap pengalaman pelancongan unik dalam kalangan pelancong Muslim Singapura, syarikat pelancongan Rarecation Travel Sdn Bhd, yang berpangkalan di Malaysia, telah mengembangkan operasinya ke Singapura sejak 2017.
Menurut pengasasnya, Encik Saiful Nang, sekitar 50 peratus pelanggan syarikat itu kini terdiri daripada warga Singapura.
“Kami menawarkan khidmat ‘bespoke’ (khusus mengikut permintaan individu) dan pengalaman unik, dan boleh dikatakan antara yang paling mahal, tetapi dapat penerimaan yang baik daripada kalangan pelancong Singapura yang mencari kelainan dalam pengembaraan mereka,” kata Encik Saiful.
Rarecation sudah membawa lebih 1,000 pelancong ke serata dunia, dengan 100 perjalanan setiap tahun dengan sekurang-kurangnya 10 hingga 12 peserta bagi setiap rombongan.
Rancangan perjalanan juga boleh disesuaikan mengikut senarai impian pelanggan, sama ada mahu mencuba kegiatan luncur udara (paragliding), bermain luncur salji atau bergambar dengan lembu di padang rumput.
Pendekatan itu berbeza daripada pakej pelancongan konvensional yang lazimnya mengikut jadual tetap.
Setiap kumpulan diiringi dua ketua rombongan yang bukan sahaja berperanan sebagai pemandu pelancong, malah turut bertindak sebagai pemandu kenderaan, tukang masak, jurugambar, penyelaras perjalanan dan perancang kegiatan.
Fleksibiliti itulah yang, menurut pengendali pelancongan tersebut, sukar ditawarkan oleh kebanyakan agensi pelancongan berskala besar.
“Pelanggan dari Singapura sangat teliti dan banyak bertanya. Mereka mahu mengetahui dengan jelas apa yang boleh dijangkakan sepanjang perjalanan.
“Oleh itu, segala yang dinyatakan atau dijanjikan dalam pakej perlu dipenuhi.
“Kami juga perlu sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dan menguruskan jangkaan mereka dengan baik.
“Dari segi pemasaran pula, kami tidak banyak berbelanja untuk iklan. Ini kerana pelanggan Singapura tidak mudah dipengaruhi oleh promosi semata-mata.
“Mereka lebih bergantung pada cadangan daripada keluarga dan rakan-rakan.
“Jika mereka berpuas hati dengan pengalaman yang dilalui, mereka sendiri akan mengesyorkan perkhidmatan kami kepada orang lain,” terang Encik Saiful ketika dihubungi.
PENGALAMAN PELANGGAN SETIA
Antara pengikut setia mereka ialah pasangan suami isteri, Encik Abdul Razak Abdullah, 64 tahun, dan isterinya, Cik Norashikin Samsudin, 56 tahun, yang telah menjadi pelanggan tetap Rarecation dan kini mempromosikan pakej Rarecation dalam kalangan keluarga dan teman-teman mereka.
“Dengan Rarecation, kami dapat pergi ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi, dan yang agak unik, pemandu pelancong atau ‘kapten’ kamilah yang membawa kami berjalan, beliau jugalah pemandu, tukang masak dan jurugambar kami sepanjang perjalanan!” kata Encik Razak, yang kini menyandang jawatan Penasihat untuk Rarecation Singapura setelah mengikut pakej-pakej mereka sebelum ini.
Bagi Cik Norashikin pula, pengalaman berpakaian baju Raya di tengah-tengah kesejukan sambil bersiar-siar di Tasik Como, Italy, dan bermacam tempat lagi adalah satu pengalaman yang tidak ditawarkan oleh pengendali pelancongan yang lain.
“Bila di luar negara, kami diminta membawa sepasang baju tradisional, dan membuat video untuk dihantarkan kepada keluarga dan teman-teman kami bila Raya menjelang nanti – ini antara kegiatan yang seronok yang kami buat walaupun Raya masih jauh lagi,” kata Cik Norashikin, yang sudah mengikuti wisata Rarecation ke Romania, Baitulmakdis, Italy, New Zealand, Turkey dan akan berangkat ke Eropah pada Oktober nanti.
Seorang lagi pengikut Rarecation dari Singapura, Cik Junaina Kurdi, 61 tahun, ahli teknologi jantung di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), berkata keakraban antara peserta membuat pengalaman itu lebih manis dan menyeronokkan.
“Apa yang membuat ia berbeza, pengembaraan ini bukanlah tertumpu pada tempat-tempat biasa yang ramai orang gemar melawat, tetapi tempat-tempat yang tak pernah kita dengar orang pergi,” katanya.
BUAT KAJIAN SEBELUM TEMPAH PAKEJ
Dengan peningkatan penggunaan syarikat pelancongan dari seberang, Cik Zalinah menasihati pelanggan Singapura supaya berhati-hati dalam pemilihan syarikat pelancongan dan membuat penyelidikan sebelum menempah pakej percutian.
Apabila terlihat satu tawaran promosi percutian ke Semporna, Sabah yang kelihatan terlalu menarik untuk dilepaskan di Facebook, Cik Zalinah Lias, 61 tahun dan rakan-rakannya tidak berfikir panjang sebelum membuat tempahan.
Namun, kegembiraan mereka bertukar menjadi kekecewaan apabila menyedari pakej yang ditawarkan itu sebenarnya satu penipuan.
Wang yang telah dibayar kepada sebuah agensi pelancongan dalam talian yang meragukan tidak pernah berjaya diperoleh semula.
“Mungkin kerana keghairahan, kami terus membuat tempahan, tetapi mula berasa curiga apabila agensi itu meminta wang pendahuluan sepenuhnya.
“Kemudian kami membuat siasatan dengan hotel yang sepatutnya telah ditempah, tetapi malangnya, baru kami tahu, kami telah ditipu dan duit kami hangus,” ujar guru pesara itu kepada Berita Minggu (BM).
Meskipun pengalaman itu pahit, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk menempah percutian melalui agensi pelancongan Malaysia.
Sebaliknya, kejadian tersebut menjadikan mereka lebih berhati-hati dan peka terhadap tanda-tanda amaran yang perlu diperhatikan sebelum memilih sesebuah agensi pelancongan.
“Jika terlalu murah, kemungkinan besar itu petanda ‘red flag’ (tanda amaran).
“Setelah pengalaman pahit itu, kami lebih berhati-hati dan akan merujuk ke laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) untuk mengesahkan syarikat itu berlesen.
“Baca juga reviu di Internet, dan tanya kepada mereka yang pernah mengikut pakej syarikat itu untuk lebih mengetahui latar belakang dan mutu perkhidmatan mereka sebelum membuat tempahan,” nasihatnya.
Malah, mereka yang dihubungi BM menekankan bahawa tawaran yang kekal unik bagi pelanggan yang memilih pakej bersama agensi tempatan ialah kemudahan, kebolehpercayaan, dan jaminan daripada segi penyelesaian masalah.
