IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak diminta pendapat atau dimaklumkan terlebih dahulu sebelum AirAsia mengumumkan penamatan penerbangan bagi laluan Ipoh-Singapura, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Encik Loh Sze Yee.
Beliau, yang juga pengerusi jawatankuasa pelancongan, perindustrian, pelaburan dan pembangunan koridor negeri Perak, berkata data menunjukkan laluan tersebut mencatatkan permintaan baik secara konsisten.
Encik Loh berkata laluan Ipoh-Singapura salah satu daripada beberapa laluan yang terjejas akibat keputusan syarikat penerbangan itu.
“Terdapat kebimbangan bahawa perkara ini boleh menjejas sektor pelancongan, pelaburan dan perindustrian di Ipoh serta Perak secara keseluruhan.
“Penamatan ini bertentangan dengan usaha kerajaan hendak memperkukuh pengangkutan udara di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong dan memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran operasi penerbangan domestik serta antarabangsa,” kata Encik Loh dalam satu kenyataan pada 12 Mac.
Notis di laman web AirAsia menyatakan bahawa sekitar 17 laluan, termasuk Ipoh-Singapura, akan digantung.
Syarikat penerbangan kos rendah itu juga memaklumkan bahawa penggantungan penerbangan tersebut dibuat bagi tujuan semakan dan penjajaran semula operasi.
Encik Loh berkata kerja naik taraf di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh sebahagian inisiatif kerajaan negeri dan persekutuan untuk menambah baik serta mempertingkatkan kemudahan bagi mengoptimumkan perkhidmatan penerbangan mereka.
Menurut Encik Loh, kerja naik taraf tersebut dijangka dirasmikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, dalam masa terdekat.
“Saya harap AirAsia akan mempertimbangkan untuk menyambung semula operasi laluan ini.
“Saya juga harap ini hanya langkah sementara sebagai sebahagian daripada penjajaran semula strategi syarikat itu bagi destinasi baru,” tambahnya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg