MARAN (Pahang): Seorang lelaki maut selepas dipercayai dibelasah penduduk kampung dalam kejadian di Felda Jengka 2, dekat Maran, Pahang.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 10 pagi 6 April.
Beliau berkata mangsa yang maut berusia 57 tahun sebelum itu dikatakan mengamuk dan menikam seorang wanita dan remaja lelaki.
“Laporan awal kejadian diterima Balai Polis Sungai Jerik 10.15 pagi dan anggota rondaan cegah jenayah balai itu tiba di lokasi sebaik menerima laporan.
“Ketika tiba, suspek berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan lebam dan kebiruan pada kedua mata. Tangan lelaki itu juga dalam keadaan terikat,” katanya dalam satu kenyataan media, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Wong berkata berdasarkan keterangan awal saksi, lelaki itu dikatakan mengamuk dan bertindak agresif dengan menikam wanita berusia 52 tahun serta anak saudaranya, remaja lelaki berusia 16 tahun.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Wanita itu cedera dengan kesan tikaman pada perut sedalam tiga sentimeter (cm), cedera di tangan dan dagu.
“Remaja lelaki itu pula cedera paha kanan dengan kesan tikaman sedalam dua cm,” katanya.
Beliau berkata pegawai perubatan daripada Hospital Jengka mengesahkan lelaki itu meninggal dunia, manakala mangsa wanita yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Jengka dan remaja lelaki terbabit sudah dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di hospital sama.
“Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan. Anggota forensik turut menemui senjata pisau yang digunakan dalam kejadian itu dan kita sedang menunggu laporan bedah siasat lelaki berkenaan yang akan dibuat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan hari ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg