Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bendera terbalik: Pemuda Umno Johor sokong tindakan tutup klinik gigi 30 hari

Aug 22, 2025 | 3:48 PM
Kes bendera terbalik, Pemuda Umno, Johor, tindakan tegas
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros. - Foto ihsan UMNO JOHOR

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda Umno Johor menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang mengenakan tindakan undang-undang ke atas sebuah klinik gigi di daerah itu selepas premis berkenaan didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini.

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata tindakan tersebut adalah langkah wajar dan tepat pada masanya, khususnya ketika negara sedang menyambut Hari Kebangsaan ke-68.

“Pemuda Johor menyokong penuh langkah MPPn yang telah bertindak mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Tindakan ini perlu dijadikan pengajaran penting kepada semua pihak agar memastikan bendera negara dipasang dengan betul dan penuh hormat,” katanya dalam satu kenyataan media pada 22 Ogos.

Menurutnya, tindakan menutup klinik berkenaan selama 30 hari bukan sahaja mendidik, tetapi juga memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa simbol negara mesti dihormati setiap masa.

“Pemuda Umno yakin tindakan yang diambil ini adalah berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat.

“Kita menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memupuk semangat patriotik dalam suasana teratur dan berdisiplin,” katanya.

Terdahulu, MPPn dalam kenyataan pada 20 Ogos memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kes itu sebelum dua anggota penguat kuasa dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di lapangan mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku, dengan Jalur Gemilang digantung dari tingkap Aras Dua bahagian dalam premis berkenaan.

“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan, klinik terbabit telah pun tamat waktu operasi. Justeru, pihak MPPn bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menghubungi pekerja premis untuk hadir ke lokasi,” menurut kenyataan itu.

Selepas dihubungi, wakil pekerja klinik berkenaan hadir ke lokasi dan melakukan pembetulan serta-merta terhadap Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik.

Selain itu, pihak penguat kuasa juga memastikan kedudukan bendera Johor dan Jalur Gemilang diperbetulkan mengikut susunan betul, dengan pemantauan bersama oleh anggota MPPn serta polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg