Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemuda Umno Johor sokong usul tarik balik penggantungan Hishammuddin

Jun 23, 2025 | 1:09 PM
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata langkah yang dicadangkan itu selaras dengan misi Umno untuk menyatukan semula kepimpinan di semua peringkat.
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata langkah yang dicadangkan itu selaras dengan misi Umno untuk menyatukan semula kepimpinan di semua peringkat. - Foto FACEBOOK NOOR AZLEEN AMBROS

Usul menarik balik penggantungan keahlian bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, merupakan langkah penting demi perpaduan dan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata bahawa langkah yang dicadangkan itu adalah satu usaha ikhlas dan membina yang selaras dengan misi Umno untuk menyatukan semula kepimpinan di semua peringkat dan memperkukuh asas perjuangan parti.

“Nama Datuk Seri Hishammuddin bukan sahaja sinonim dengan rakyat Sembrong, tetapi turut mempunyai kaitan rapat dengan legasi dan sejarah panjang perjuangan Umno,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 Jun.

Menurutnya, sebarang usaha ke arah penyatuan semula, termasuk cadangan yang dikemukakan Umno Bahagian Sembrong, wajar diberikan pertimbangan yang mendalam oleh pucuk pimpinan parti.

“Pemuda Umno Johor percaya bahawa Presiden dan barisan kepimpinan parti akan memberi perhatian sewajarnya terhadap cadangan ini, sebagaimana yang telah diberikan kepada cadangan-cadangan lain dari bahagian di seluruh negara,” katanya.

Turut menyatakan sokongan adalah Ketua Wanita Umno Johor, Cik Asiah Md Ariff, yang berkata sokongan itu turut senada dengan pendirian Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Tindakan ini bukan atas dasar peribadi, tetapi didorong pertimbangan strategik dan kepentingan masa depan parti.

“Umno kini memerlukan kebijaksanaan, pengalaman dan perpaduan semua pihak termasuk tokoh yang terbukti berkesan dalam perjuangan politik,” katanya.

Menurutnya, Datuk Seri Hishammuddin telah membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin yang berpengaruh dan berstrategi apabila berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong serta memastikan kemenangan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan tersebut pada pilihan raya lepas.

Menurutnya, tokoh berkenaan juga memiliki rangkaian hubungan politik dan pengalaman pentadbiran luas di peringkat nasional, yang dilihat mampu memperkukuh kesiapsiagaan Umno dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) dengan lebih tersusun dan diyakini rakyat.

“Wanita Umno Johor percaya bahawa perpaduan dan penglibatan semula semua aset politik parti adalah kunci kejayaan masa depan.

“Ini bukan masa untuk menyisih, sebaliknya masa untuk menggembleng kekuatan,” ujar Cik Asiah.

Terdahulu, pada 21 Jun, Datuk Onn Hafiz, dilaporkan akan mengemukakan usul daripada Umno Bahagian Sembrong ke peringkat tertinggi parti bagi mencadangkan agar Datuk Seri Hishammuddin diterima semula dalam kepimpinan parti.

Pada Januari 2023, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk memecat bekas Ahli Parlimen (AP) Rembau, Encik Khairy Jamaluddin, dan bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, daripada Umno kerana pelanggaran disiplin sewaktu PRU-15.

Umno turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun seperti Datuk Seri Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan, Encik Shahril Sufian Hamdan; dan bekas AP Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Datuk Seri Hishammuddin digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan MKT Umno.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg