ALOR SETAR (Kedah): Kes buli membabitkan pelajar di Kedah didapati meningkat 30 kes sehingga Ogos 2025 berbanding 10 kes pada 2024, kata Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah.
Beliau berkata pihaknya sudah mengadakan mesyuarat khas dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubung perkara itu, namun setakat ini tiada keperluan untuk menubuhkan skuad khas bagi menangani kes buli ini.
“Kita tak ada keperluan untuk tubuh skuad khas cuma ia akan dikendali oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
“Kita akan fikirkan masa sesuai untuk mengadakan lawatan pada waktu malam sama ada hujung minggu atau hari tidak bersekolah.
“Ini kerana masing-masing tahu dan pernah bersekolah, malah saya sendiri pun duduk asrama.
“Kalau esok harinya tak sekolah, pelajar lebih aktif pada waktu itu dan kita akan datang (asrama) juga malam masa itu untuk kita melawat,” katanya pada sidang media selepas Program Town Hall Discussion (taklimat umum), Polis Kontinjen Kedah, pada 9 September, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, Datuk Adzli berkata buat masa ini bukan semua sekolah akan dilawati.
Katanya, beliau sudah memberi arahan kepada pegawainya termasuk OCPD (Ketua Polis Daerah) sendiri dan mungkin beliau akan turun sendiri ke sekolah berkenaan.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan JPN dan sekolah yang dikenal pasti mempunyai masalah buli.
Sementara itu di Perak, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Encik Khairudin Abu Hanipah, berkata sebanyak 49 kes buli direkodkan di sekolah di negeri itu antara Januari dengan Ogos 2025, dengan kesemua kes dikategorikan sebagai bukan kes berat.
Beliau berkata angka itu menunjukkan penurunan apabila 85 kes buli direkodkan di Perak sepanjang 2024.
“Daripada 49 kes ini, ia membabitkan 14 kes di 14 sekolah berasrama selain 30 kes pula berlaku di sekolah harian.
“Bagi 85 kes pada 2024, ia membabitkan 23 kes di luar sekolah, 53 di sekolah dan sembilan kes membabitkan guru,” katanya.
Kata Encik Khairudin, pelajar yang dibuang sekolah sebelumnya masih layak untuk memohon masuk ke sekolah lain, namun keputusan akhir untuk menerima pelajar itu terpulang kepada pihak sekolah selepas mendapat persetujuan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Bagaimanapun, proses membentuk sahsiah pelajar terbabit perlu diperkukuhkan. Ada pelajar yang menjadi pelajar terbaik apabila kita beri peluang kedua, malah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam,” katanya.
Sebelum ini Berita Harian melaporkan kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin membimbangkan dengan 7,681 kes direkod pada 2024, meningkat 1,153 kes berbanding 6,528 kes pada 2023, menurut data Kementerian Pendidikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg