Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes buli di sekolah M’sia terus meningkat, 7,600 kes direkod pada 2024

Aug 27, 2025 | 3:42 PM
Kes buli, sekolah M’sia
Menteri Pendidikan Malaysia, Cik Fadhlina Sidek. - Foto fail BERNAMA

Kejadian buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin membimbangkan dengan 7,681 kes direkod pada 2024, meningkat 1,153 kes berbanding 6,528 kes pada 2023.

Menteri Pendidikan, Cik Fadhlina Sidek, berkata data yang diperoleh berdasarkan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) itu turut menunjukkan kejadian paling tinggi membabitkan pelajar sekolah menengah dengan sejumlah 5,689 kes direkodkan dalam tempoh itu, manakala 1,992 kes melibatkan sekolah rendah.

Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius gejala buli dan tidak akan bertolak ansur.

“Usaha membanteras buli adalah usaha berterusan KPM dan memerlukan komitmen semua pihak termasuk warga sekolah, ibu bapa, masyarakat serta agensi berkaitan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 27 Ogos.

Beliau menjawab soalan bertulis daripada Ahli Parlimen (AP) Klang (Selangor), Encik V Ganabatirau, mengenai jumlah kes buli yang dilaporkan di sekolah kerajaan di seluruh Malaysia dan langkah pencegahan baru yang diperkenal untuk menangani budaya buli.

Menurut Cik Fadhlina, antara langkah baru dan diperkukuhkan untuk membanteras gejala buli di sekolah ialah melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah termasuk sekolah berasrama penuh dan perubahan sistem aduan buli yang melindungi identiti pengadu.

Selain itu KPM turut menegaskan hukuman gantung atau buang sekolah terhadap pesalah buli, menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan bersama pihak berkuasa dan berkepentingan serta pemeriksaan mengejut di asrama. 

KPM juga, katanya, sedang menggubal semula Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memberi panduan lebih jelas kepada guru dalam mengurus kes disiplin.

“Kerajaan juga sedang meneliti cadangan keperluan menggubal Akta Anti Buli menggunakan sistem tribunal bagi kes membabitkan murid dan kanak-kanak,” katanya.

Menjelaskan lanjut Cik Fadhlina berkata kurikulum persekolahan baru bermula 2027 juga akan memberi penekanan kepada pembentukan karakter murid sejak prasekolah, termasuk nilai kasih sayang, daya tahan, keyakinan diri dan empati, bagi membina budaya sekolah yang lebih selamat dan berdisiplin.

“KPM yakin gejala buli dapat dikurangkan melalui usaha berterusan, dengan kerjasama ibu bapa dan masyarakat dalam mendidik serta mengawasi anak-anak,” katanya.

Kes buli dalam kalangan pelajar sekolah menjadi perbincangan hangat di Malaysia ketika ini, terutama selepas beberapa kejadian serius, termasuk kes buli yang membabitkan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, pada 17 Julai.

Dalam kejadian terkini yang turut dikaitkan dengan dakwaan kes buli, seorang pelajar Tingkatan Tiga kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah di Sabak Bernam, Selangor, kira-kira 2 pagi pada 26 Ogos.

Pada 27 Ogos di Parlimen, Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, dalam sesi penerangan mengenai isu buli mengemukakan beberapa syor, termasuk melantik anggota tentera atau polis sebagai warden sekolah berasrama untuk menangani kejadian buli.

Pengerusinya yang juga AP Puchong (Selangor), Cik Yeo Bee Yin, berkata jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya diwujudkan Jawatankuasa Khas Anti Buli, untuk memantau pematuhan sekolah dalam menguruskan kes buli.

“Jawatankuasa juga mencadangkan kerajaan mewajibkan dasar perlindungan kanak-kanak dan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli sebagai modul wajib dalam latihan guru di Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Guru-guru perlu dilatih dan diberi sokongan untuk mengendali kes salah laku buli secara holistik, bukan saja dari sudut melindungi dan memulihkan mangsa, bahkan juga melaksanakan pencegahan yang menyeluruh,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg