Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes denggi Johor melonjak 150.6% cecah 11,403 kes
Johor Bahru catat 73.1% daripada 438 kes yang dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-37
Kes denggi Johor melonjak 150.6% cecah 11,403 kes
JOHOR BAHRU: Johor merekodkan 11,403 kes denggi sehingga Minggu Epidemiologi ke-37 pada 2026, meningkat 150.6 peratus berbanding 4,551 kes dalam tempoh sama pada 2025.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 5,239 kes atau 45.9 peratus dikesan di kawasan wabak, manakala 6,164 kes atau 54.1 peratus dilaporkan di kawasan bukan wabak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata sebanyak 438 kes denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-37, menurun 4.6 peratus berbanding 459 kes pada minggu sebelumnya.
Johor Bahru mencatat jumlah tertinggi dengan 320 kes, bersamaan 73.1 peratus daripada keseluruhan kes mingguan, diikuti Kulai dengan 77 kes atau 17.6 peratus.
“Walaupun kes mingguan menunjukkan sedikit penurunan, jumlah terkumpul masih tinggi dan tindakan pencegahan mesti terus dipertingkatkan,” katanya dalam kenyataan pada 21 September.
Sebanyak 35 kawasan wabak baru turut dikenal pasti pada minggu berkenaan, terdiri daripada 24 kawasan di Johor Bahru dan 11 di Kulai.
Jumlah terkumpul kawasan wabak di negeri itu kini mencecah 1,243 – meningkat 158.4 peratus berbanding 481 dalam tempoh sama pada 2025.
Tiada kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ke-37.
Bagaimanapun, jumlah kematian terkumpul kekal 13 kes berbanding lapan kes dalam tempoh sama pada 2025, meningkat 62.5 peratus.
Menurut Encik Ling anggota kesihatan terus menjalankan kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk di dalam dan di luar rumah.
Sebanyak 4,177 kompaun bernilai keseluruhan RM2.09 juta ($653,400) telah ditawarkan sepanjang 2026, dengan 78.6 peratus daripadanya sudah dibayar.
“Penemuan tempat pembiakan dan kawasan berisiko di dalam rumah menunjukkan masih ada masyarakat yang belum peka terhadap keperluan membersihkan serta memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Luangkan sekurang-kurangnya 10 minit untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman serta tempat kerja,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya membuang air bertakung, memberus bekas yang mengandungi jentik-jentik dan memastikan semua bekas simpanan air ditutup rapat.
Masyarakat juga boleh menggunakan semburan serangga serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.
Pihak sekolah pula digesa mengadakan kegiatan gotong-royong secara berkala untuk memastikan kawasan pembelajaran bebas daripada air bertakung dan tempat pembiakan nyamuk.
Pengusaha serta pemandu bas sekolah turut disaran menyembur racun serangga di dalam kenderaan pada awal pagi dan petang sebelum mengambil atau menghantar murid.