KOTA TINGGI: “Ketika bapa saudara saya berusaha menarik mereka keluar dari laut, suami masih terus pegang kaki anak dengan kuat... tidak lepas.”

Demikian perkongsian hiba oleh Cik Nurul Jannah Kamaruzaman, 31 tahun, yang menyaksikan sendiri pengorbanan suaminya, Encik Mohammad Nizam Zainal, 33 tahun, sedaya upaya cuba menyelamatkan anak sulung, Muhammad Zamri Mikhail, lapan tahun, sebelum dua beranak ini terbabit lemas dalam kejadian di sebuah tapak perkhemahan di Kampung Punggai, Pengerang pada 30 Ogos.

Cik Nurul Jannah berkata terdahulu suami dan anaknya itu turun mandi laut sekitar 6 petang sebelum kira-kira 10 minit kemudian, beliau melihat Encik Mohammad Nizam sedang ‘melambung-lambung’ Muhammad Zamri Mikhail.

“Rupa-rupanya suami sedang cuba menyelamatkan anak yang lemas. Ketika itu, saya dengar suami menyebut ‘tolong, tolong’ sambil melambung anak.

“Bapa saudara yang berada di situ kemudian berusaha menarik suami dan anak keluar dari laut yang ketika itu berombak besar kerana air pasang ketika mereka mandi,” katanya ketika ditemui wartawan Berita Harian di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT).

Suri rumah dari Taman Pelangi Indah, Johor Bahru itu berkata suami dan anaknya tidak sedarkan diri ketika dibawa keluar dari laut sebelum disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bayu Damai.

Menceritakan lanjut, Cik Nurul Jannah berkata mereka bermalam di tapak perkhemahan itu bersama keluarga ibu saudaranya sempena cuti sekolah dan bercadang untuk pulang pada 31 Ogos.

Sebelum itu, beliau berkata arwah suaminya begitu teruja untuk pergi ke tapak perkhemahan berkenaan.

Namun, ibu kepada dua anak itu memaklumkan bahawa ketika dalam perjalanan dari rumah mereka ke tapak perkhemahan itu kira-kira 12 tengah hari semalam, beliau sudah berasa tidak sedap hati.

“Ketika tiba di tapak perkhemahan, suami menjadi seorang yang banyak bercakap dan ceria, malah perubahan itu turut disedari ibu saudara.

“Satu lagi perubahan ialah suami menjadi sukar tidur... sebenarnya, arwah suami sudah tidak tidur selama tiga hari,” katanya.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Papan Timur pada 31 Ogos.