MARAN, PAHANG: Warga emas dan jirannya maut selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan, dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh, dalam kejadian di Kilometer 95, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Kampung Paya Pasir, pada 28 Julai lalu.

Nahas berlaku kira-kira 5.40 pagi, ketika Cik Salbiah Mohamad Sah, 76 tahun, menumpang kereta jirannya, Cik Masitah Mohd Soad, 59 tahun, ke masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Anak Cik Salbiah, Encik Mohd Firdaus Abdul Ghani, 42 tahun, berkata setiap pagi ibunya akan ke Masjid Ar-Rusdan untuk solat Subuh secara berjemaah.

“Setiap pagi, sebelum keluar rumah, mak ambil wuduk, memakai telekung dan keluar berdiri di depan kedai runcit yang diusahakannya.

“Mak akan tunggu jiran yang melalui depan kedai dan akan menumpang kenderaan sesiapa sahaja yang berhenti untuk menumpangkan beliau ke masjid,” katanya ketika ditemui di Hospital Jengka.

Menurut Berita Harian Malaysia (BHM), Encik Mohd Firduas berkata ibunya menumpang kereta yang dipandu Cik Masitah, iaitu jiran paling hampir dengan rumah mereka.

Allahyarhamha Cik Salbiah mempunyai enam anak termasuk empat lelaki dan tinggal bersendirian selepas kematian suami.

Katanya, walaupun ibunya sudah berusia 76 tahun, beliau masih sihat dan tidak pernah ponteng menunaikan solat Subuh secara berjemaah sejak sekian lama.

“Sebelum ini, saya tinggal bersama mak di rumah tetapi Julai lalu, saya berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sana.

“Kelmarin mak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghantar saudara menunaikan umrah dan itulah kali terakhir saya bertemu arwah dan dia sangat ceria ketika itu.

“Bagaimanapun, pagi ini terkejut dapat tahu mak meninggal kerana terbabit kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua wanita terbabit dalam perjalanan dari arah Temerloh ke Maran.

Beliau menambah kereta mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah bertentangan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah MPV dinaiki tiga lelaki terbabas ke kanan jalan dan bertembung kereta dinaiki dua wanita terbabit.

“Lokasi kemalangan adalah jalan lurus dan kedua-dua kenderaan itu bertembung secara depan dan depan.

“Selepas kemalangan itu, sebuah lagi kereta juga dalam perjalanan ke masjid tidak sempat mengelak turut merempuh MPV terbabit tetapi pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi satu kenyartaan.

Akibat kemalangan itu, Kim Wai berkata dua wanita terbabit dan seorang penumpang di tempat duduk belakang MPV, Encik Muhammad Arif Daniel Mohd Norsha’ari, 20 tahun, maut di tempat kejadian.

Katanya, pemandu dan seorang lagi penumpang MPV terbabit turut cedera dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, untuk rawatan.

Semua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Jengka, untuk proses bedah siasat.

Jenazah Cik Salbiah dan Cik Masitah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Pasir, Maran, manakala jenazah Encik Muhammad Arif Daniel dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam, Chenor, Maran.