Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes penuntut uni M’sia dijangkit HIV membimbangkan, ada sengaja sebar virus dek dendam

Jul 4, 2025 | 12:12 PM
Kes HIV, pelajar, M’sia
Kes jangkitan HIV dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi di Malaysia kian membimbangkan. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Data dikongsikan oleh Majlis Aids Malaysia mendedahkan satu realiti membimbangkan iaitu 44 peratus daripada mereka yang dijangkiti HIV di Malaysia adalah golongan belia berusia 20 hingga 29 tahun.

Malah, menurut laporan yang memetik Setiausaha Kehormat Majlis Aids Malaysia, Dr Zaiton Yahya, kebanyakan jangkitan baru membabitkan lepasan sekolah dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, pula mendedahkan seramai 222 pelajar IPT dijangkiti HIV sepanjang 2024, dan angka itu sebahagian daripada 1,091 kes jangkitan dalam kalangan pelajar IPT yang direkodkan sepanjang 2021 hingga 2024.

Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Mujaheed Hassan, berkata perkongsian jarum suntikan dadah mungkin bukan lagi penyumbang utama kepada jangkitan HIV.

Menerusi kajian yang dijalankannya, beliau berkata gaya hidup bebas, tekanan sosial selain melazimkan seks luar nikah termasuk hubungan seksual sesama lelaki tanpa menggunakan alat perlindungan antara penyumbang utama peningkatan kes.

Beliau berkata terdapat responden mengakui mereka mula terlibat dalam hubungan seksual selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana didorong rasa ingin tahu tanpa bimbingan formal berkaitan kesihatan seksual.

Menurutnya, aplikasi sosial seperti Grindr, Hornet dan Tinder digunakan penuntut bagi mencari pasangan yang akhirnya membawa kepada hubungan seksual kasual tanpa perlindungan mencukupi.

“Ada yang terlibat dalam seks oral atau seks anal ketika masih muda dan hanya mengetahui risiko jangkitan HIV selepas didiagnosis.

“Mereka juga lebih terdedah kepada pornografi dan maklumat seksual yang tidak ditapis terutama melalui media sosial,” katanya.

Kajian bertajuk, ‘Peningkatan Kes HIV di IPT: Mengkaji Faktor Tingkah Laku Berisiko, Keberkesanan Program Pencegahan dan Strategi untuk Kesihatan dan Kesejahteraan Generasi Muda’ itu melibatkan 500 responden terdiri daripada penuntut IPT sekitar Lembah Klang, Selangor dan Putrajaya pada Januari.

Namun, di sebalik semua itu, Dr Mohammad Mujaheed, berkata lebih mengejutkan ada penuntut yang mengakui mereka sengaja menyebarkan HIV kepada individu lain sebagai bentuk balas dendam atau revenge transmission.

Menurut beliau, dalam kes sedemikian, pelajar terbabit secara sedar tidak memaklumkan status mereka kepada pasangan, selain terus terlibat dalam hubungan rambang tanpa menggunakan perlindungan.

“Dia mengaku berniat menyebarkan jangkitan secara sengaja atas alasan tidak mahu menanggung kesan jangkitan keseorangan.

“Perasaan marah, kecewa dan dikhianati menyelubungi diri dan dia berasakan orang lain juga ‘patut merasai’ perkara sama,” katanya sambil menegaskan isu itu memerlukan perhatian serius pihak berwajib.

Mengulas lanjut, beliau berkata dapatan kajian turut mendapati rata-rata jangkitan berpunca daripada seks rambang, dengan ramai pelajar IPT terlibat dalam hubungan seksual dengan pasangan tidak tetap tanpa menggunakan kondom.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg