AYER KEROH: Seorang guru tahfiz dihukum penjara 102 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 17 Ogos selepas mengaku bersalah terhadap 10 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan meliwat tiga pelajarnya di Bukit Rambai, pada 2025.

Muhammad Aimanuddin Julaihi, 31 tahun, yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, pada prosiding tersebut.

Dalam penghakimannya, Hakim Rohatul menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama hingga kelapan, manakala penjara 11 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan meliwat, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pemberatan hukuman.

Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak, menjadikan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 11 tahun dan 12 sebatan.

Hukuman penjara bagi semua pertuduhan ditetapkan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 3 Ogos lalu (2026).

Mengikut lapan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang pelajar lelakinya yang ketika itu berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi berasingan termasuk bilik tidur, pejabat, dewan makan, perpustakaan dan lorong sempit sekitar pusat tahfiz di Bukit Rambai, pada tarikh dan masa berbeza antara Mei dengan Julai 2025.

Bagi dua lagi pertuduhan berasingan, tertuduh turut mengaku meliwat dua lagi pelajarnya yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di biliknya pada Julai 2025 kira-kira 12 tengah malam dan di dalam perpustakaan kira-kira 8 pagi pada Mei 2025.

Semua 10 pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Muhammad Aimanuddin yang tidak diwakili peguam memohon budi bicara mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara seminimum mungkin bagi semua pertuduhan dan dijalankan serentak.

Katanya, dia anak kedua dalam tiga beradik serta menyara ibu dan seorang abang yang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman penjara panjang terhadapnya dengan mengambil kira pertuduhan membabitkan tiga mangsa kanak-kanak berbeza.

“Pohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan seksual semakin berleluasa kini.

“Mahkamah serta pendakwaan mempunyai tanggungjawab memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan ini pada masa depan,” katanya.