BUKIT MERTAJAM: Pemain sayap sensasi Selangor FC, Faisal Halim, yang kecewa kes simbahan asidnya diklasifikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), menyatakan: “Kalau ada yang tak kena dengan saya beritahu pada saya. Jangan aniaya saya.”
Bagaimanapun, pemain bola sepak yang berasal dari Pulau Pinang itu mahu terus memberi tumpuan penuh terhadap perjalanan kerjayanya dan menyerahkan sepenuhuhnya urusan kes itu kepada pihak berkuasa.
Beliau reda dengan suratan takdir, namun jauh di sudut hatinya, beliau sendiri tertanya-tanya adakah dirinya sudah menerima sepenuhnya keadaan itu seiring perkembangan terbaru kes berkenaan?
“Sudah tentu saya sebagai mangsa rasa kecewa tapi apa yang saya boleh katakan benda sudah lepas, perkara sudah berlaku, saya terima dengan hati terbuka, saya reda.
“Saya rasa ini adalah ruang untuk saya kembali semula. Saya hanya mahu fokus dalam kerja saya dan saya tak nak fikir lagi (mengenai) NFA. Terpulang, itu semua tanggungjawab pihak polis,” ujarnya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
“Daripada pihak saya, saya pun tak tahu. Saya tak pasti sama ada saya boleh terima dengan keadaan ini,” katanya, ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Terbuka U12 Piala Faisal Halim 2025 di Mengkuang Titi, Kubang Semang, pada10 Mei.
Faisal, yang mesra disapa sebagai Mickey, berkata beliau membina kerjaya sebagai pemain bola sepak sejak kecil bukan untuk mengejar kesenangan tetapi memburu impiannya menjadi pemain terbaik demi negara.
“Saya rasa kalau saya ada buat salah silap, beritahulah daripada buat saya macam ini (simbah asid). Saya ada keluarga untuk ditanggung menerusi kerjaya yang saya kejar daripada kecil.
“Saya orang kampung. Rumah saya di sini, saya menjadi pemain bola sepak bukan untuk mengejar kesenangan tapi mengejar kejayaan untuk menjadi pemain terbaik,” katanya lagi.
Pada 8 Mei lalu, media melaporkan, peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha, dalam satu sidang media memaklumkan kes serangan simbah asid ke atas anak guamnya diklasifikasikan sebagai NFA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg