Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siasatan kes simbah asid pemain bola sepak M’sia ditutup, polis gagal kesan pelaku

Pihak Faisal kecewa, hantar surat kepada AGC mohon kes itu dibuka semula
May 8, 2025 | 3:06 PM
Pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Faisal Halim (depan), kembali ligat beraksi di padang selepas melalui episod ngeri tragedi simbahan asid pada 5 Mei 2024, yang menyebabkan beliau mengalami lecur tahap empat yang meninggalkan parut besar di muka dan tubuhnya.
Pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Faisal Halim (depan), kembali ligat beraksi di padang selepas melalui episod ngeri tragedi simbahan asid pada 5 Mei 2024, yang menyebabkan beliau mengalami lecur tahap empat yang meninggalkan parut besar di muka dan tubuhnya. - Foto INSTAGRAM FAISAL HALIM

Penantian hampir setahun pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Faisal Halim, terhadap siasatan tragedi serangan asid menimpanya berakhir dengan kehampaan apabila polis menamatkan siasatan kes terbabit kerana gagal menemui petunjuk atau suspek terlibat.

Menurut peguam kepada pemain sayap Selangor FC itu, Nik Zarith Nik Moustpha, surat Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Februari memaklumkan, siasatan pihak polis gagal mengaitkan kes berkenaan dengan mana-mana individu dan tiada suspek dapat dikenal pasti, justeru kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Surat (AGC) berkenaan hanya menyatakan polis tidak dapat mengesan sebarang petunjuk untuk mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek dan usaha untuk mengenal pasti siapa pelaku juga tidak berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, pihak Faisal yang kecewa dengan keputusan itu telah menghantar surat kepada pihak AGC pada 15 April, mendesak supaya kes itu dibuka semula.

Namun setakat ini, belum mendapat sebarang maklum balas.

Menurut Nik Zarith, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey, tidak menolak kemungkinan mengambil langkah seterusnya. Mereka masih berbincang untuk meneroka tindakan lanjut berhubung kes terbabit.

“Sebagai seorang mangsa beliau kecewa namun faham semua siasatan berhubung jenayah harus berlandaskan undang-undang.

“Daripada segi mental, beliau nampak semakin sembuh, tetapi kita faham kejadian itu meninggalkan trauma. Kita masih berbincang bagi mendapatkan pendiriannya berhubung tindakan lanjut,” katanya.

Keputusan menamatkan siasatan kes simbahan asid terhadap Faisal turut mengundang rasa tidak puas hati orang ramai, apabila media sosial dibanjiri komen yang mempertikai kecekapan polis dalam kes itu, walaupun terdapat banyak penemuan bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Terdahulu, genap setahun kejadian malang pada 5 Mei 2024 itu menimpa dirinya, Faisal menerusi hantaran di Instagram pada 5 Mei mengenang kembali detik sukar yang terpaksa diharungi selepas menjadi mangsa simbahan asid.

Penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 berusia 27 tahun itu mengakui bersyukur apabila dapat bangkit semula terutama dalam meneruskan kerjayanya sebagai pemain bola sepak.

Dalam hantaran itu, Faisal turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, atas bantuan serta sokongan padu yang diberikan sepanjang detik sukar itu, selain berterima kasih kepada seluruh keluarga, pengurusan kelab, rakan sepasukan dan rakyat Malaysia yang mendoakan dirinya.

“Genap setahun peristiwa yang banyak mengajar saya tentang kehidupan. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas doa semua. Sedikit sebanyak kekuatan dalam diri ini datang daripada anda semua.

“Setahun sudah berlalu, insya-Allah saya akan terus bangkit dan berikan yang terbaik untuk diri, keluarga dan bola sepak,” tulisnya.

Dalam kejadian mengejutkan Malaysia pada 5 Mei 2024, Faisal menjadi mangsa disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, sehingga disahkan melecur tahap empat.

Namun, Faisal berjaya bangkit selepas menjalani beberapa siri pembedahan sebelum membuat kemunculan semula di atas padang bersama skuad ‘Gergasi Merah’ (SFC) pada Ogos, selain kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal, pada Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg