JOHOR BAHRU: Sembilan ahli kongsi gelap ditahan polis kerana disyaki terbabit pembunuhan seorang lelaki yang juga pesaing mereka, yang ditembak ketika sedang makan di sebuah restoran dekat Taman Setia Indah di sini pada 8 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata mereka ditahan dalam beberapa operasi berasingan di sekitar bandar raya ini pada 8 Mac dan 17 Mac lalu.
Beliau berkata suspek utama, iaitu lelaki tempatan berusia 64 tahun, yang dipercayai terbabit dalam kejadian pembunuhan itu, ditembak mati polis ketika operasi pertama dijalankan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Motif dendam di antara dua kumpulan kongsi gelap dipercayai menjadi punca kejadian menembak di Taman Setia Indah.
“Pada 3.10 pagi 8 Mac lalu, polis mengesan suspek utama di Taman Molek di sini sebelum cuba menahannya, namun berlaku kejadian berbalas tembakan sebelum suspek ditembak mati.
“Pada hari sama antara 5 dengan 6 pagi, enam suspek ditahan di sebuah rumah di Jalan Ah Siang manakala tiga lagi ditahan antara 9.45 pagi dengan 1 tengah hari di Jalan Bukit Meldrum, pada 17 Mac,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 27 Mac.
Datuk Kumar berkata kesemua suspek yang ditahan berusia antara 36 dengan 66 tahun, dengan kesemuanya kini direman hingga 30 Mac depan bagi membantu siasatan.
“Dalam beberapa siri serbuan itu, polis turut merampas dua pistol, sepucuk pistol angin, beberapa butir peluru serta dadah disyaki jenis heroin.
“Satu daripada pistol yang dirampas dipercayai digunakan suspek utama dalam kejadian pembunuhan di Taman Setia Indah.
“Walaupun kertas siasatan sudah dilengkapkan, kemungkinan akan ada tangkapan susulan membabitkan satu atau dua lagi suspek dalam masa terdekat,” katanya.
Datuk Kumar berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971; Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada 8 Januari lalu, Datuk Kumar mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun maut ditembak dengan empat das tembakan ketika sedang makan di sebuah restoran Taman Setia Indah.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah kesan tembakan yang terkena di bahagian dada.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg