Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes tetak tangan polis di Selangor: Pasport suspek tamat tempoh sejak 2020
Lelaki warga asing itu dipercaya alami tekanan perasaan selepas ditinggal teman wanita
Kes tetak tangan polis di Selangor: Pasport suspek tamat tempoh sejak 2020
KUALA LUMPUR: Lelaki warga asing yang maut ditembak selepas menetak tangan anggota polis hingga putus di pangsapuri Desa Aman Puri, Kepong, dekat Gombak, Selangor, pada 11 November didapati memiliki pasport yang tamat tempoh sejak 2020.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata semakan mendapati lelaki berusia 32 tahun itu pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018.
“Pasport lelaki itu tamat tempoh sejak 2020 dan dia berada di negara ini secara tidak sah.
“Sebelum itu, suspek pernah memegang pas pelajar dari 2015 hingga 2018,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam 11 November, Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26 tahun, putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua bilah parang di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan polis berhampiran sebuah taman permainan dan ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cuba ditahan.
Lelaki itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang, Selangor.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada 12 November mengesahkan pembedahan menyambung semula pergelangan tangan kanan anggota polis yang putus di Hospital Kuala Lumpur berjaya disempurnakan selepas prosedur selama lapan jam.
Dalam pada itu, suspek yang mendiami Pangsapuri Aman Dua, sejak lebih setahun lalu, dilaporkan sering membuat bising dan menjerit-jerit daripada kediamannya di tingkat dua, Blok B, pangsapuri berkenaan.
Seorang penghuni, Encik Mohd Aidil Roslan, berkata suspek yang tinggal setingkat di bawah unit kediamannya sering menjerit-jerit, selain kerap bertengkar dengan teman serumah.
“Dalam tempoh dua minggu ini kami (penduduk) sering mendengar dia bergaduh dengan rakan serumah.
“Memang bising dan dengar dia menjerit, marahkan orang dalam rumah sehingga kami tertanya-tanya apa yang berlaku ini, kenapa tiada siapa yang membuat laporan?
“Namun semalam (11 November) sampailah ke kemuncak kejadian yang berlaku selepas ada rakan suspek datang dan pujuk untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui di Pangsapuri Aman Dua.
Encik Mohd Aidil berkata suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan teman wanitanya yang tinggal di blok bersebelahan sejak lebih sebulan lalu.