Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia mula hantar pulang 1,476 pelarian Myanmar melalui laut
M’sia mula hantar pulang 1,476 pelarian Myanmar melalui laut
KUALA LUMPUR: Malaysia mula menangani isu kemasukan pelarian asing dengan menghantar pulang 1,476 individu ke Myanmar dalam fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela yang bermula pada 29 September.
Kementerian Dalam Negeri (KDN), dalam satu kenyataan, berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 5,000 warganegara Myanmar yang telah dimuktamadkan untuk dihantar pulang secara berperingkat dan sukarela ke negara asal mereka.
Penghantaran pulang itu dilaksanakan melalui laluan laut menggunakan dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar, dengan penyelarasan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.
“Sehingga 15 Ogos 2026, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.
“Daripada jumlah tersebut, 5,000 warga Myanmar telah dimuktamadkan untuk dihantar pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, berasaskan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu yang terlibat untuk pulang secara sukarela,” kata KDN dalam kenyataan itu.
Menurut KDN, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Madani untuk menyelesaikan permasalahan legasi tersebut berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai Ihsan dan semangat kekeluargaan Asean, dengan memastikan tindakan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan tanpa berkompromi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara,” kata KDN.
Menurut KDN lagi, kejayaan pelaksanaan fasa pertama itu mencerminkan isyarat jelas bahawa Kerajaan serius dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik.
“Kerajaan Madani kekal komited untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam berasaskan tata kelola yang baik,” kata KDN.
Sebelum ini, isu lambakan pelarian asing di Malaysia mencetus kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan awam, malah pelarian asing semakin mendominasi beberapa kawasan di serata Malaysia sehingga membentuk koloni.
Sehingga akhir Februari 2026, kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka direkodkan berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.
Daripada jumlah itu, kira-kira 193,824 adalah warga Myanmar, terdiri daripada 126,144 etnik Rohingya, 15,774 etnik Chin dan 33,002 daripada kumpulan etnik lain dari kawasan yang terjejas akibat konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan akan memastikan usaha menangani isu pelarian Myanmar dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia.
Beliau berkata komitmen itu menjadi asas dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara tuntas termasuk menerusi kerjasama dengan Myanmar bagi penghantaran pulang pelarian secara sukarela dan berperingkat.
“Isu pelarian Myanmar bukan permasalahan baharu, sebaliknya legasi puluhan tahun yang telah memberikan tekanan kepada negara dari sudut keselamatan, sosial dan pengurusan.
“Insya-Allah, saya akan memastikan isu ini ditangani secara tuntas, dengan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia diberi keutamaan, serta pelaksanaannya berlandaskan undang-undang dan nilai kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.