Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tipu haji: Agamawan diingatkan jangan salah guna status kaut untung

Jun 24, 2025 | 6:28 PM
Dr Zulkifli Hasan, tipu, haji, umrah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, beramah mesra dengan hadirin pada Program Bicara Qiadi dalam Nadwah Kepimpinan Kebangsaan 2025 baru-baru ini. - Foto NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KOTA BHARU: Golongan agamawan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan status mereka untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan dalam menjalankan urus niaga berkait ibadah haji dan umrah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata mereka yang terbabit urusan haji dan umrah perlu bertanggungjawab serta amanah bagi memastikan perkara dilakukan itu selari dengan tuntutan agama.

“Bagi mereka yang bergelar agamawan, kami nasihatkan agar tidak sama sekali mengambil peluang menggunakan agama untuk mengaut keuntungan.

“Kita ingatlah tanggungjawab serta amanah untuk memastikan apa dilakukan itu adalah selari dengan tuntutan agama, dan elakkan perkara mungkar,” katanya kepada pemberita Berita Harian Malaysia pada Program Bicara Qiadi dalam Nadwah Kepimpinan Kebangsaan 2025 anjuran Sektor Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes 47 jemaah dilaporkan menjadi mangsa penipuan pakej haji disyaki membabitkan seorang agamawan.

Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata kes penipuan pakej haji atau umrah masih terus berlaku walaupun orang ramai sentiasa diberikan hebahan dan peringatan mengenai perkara itu.

Malah, beliau berkata agensi bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) terutama Lembaga Tabung Haji (TH), telah bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyampaikan maklumat dan memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak menjadi mangsa penipuan berkenaan.

“Sudah banyak peringatan diberikan, termasuk melalui khutbah tetapi berlaku juga (kes penipuan).

“Kita memerlukan tindakan undang-undang. Jadi, ada pasukan khas ditubuhkan dan akan melihat perkara ini secara menyeluruh agar dapat dibasmi dengan tuntas serta tidak lagi berlaku... kita doakanlah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg